Anda di sini

Kerjasama antara PBB, organisasi serantau penting untuk selesai konflik

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia yakin kerjasama antara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi serantau adalah perlu dan mesti menjadi usaha berterusan bagi menyelesaikan konflik dan operasi pengaman.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Hussein Haniff berkata perkongsian itu menawarkan kelebihan berbanding yang unik dalam menguasai kesahan dan kesamaan di rantau masing-masing.

Beliau berkata organisasi serantau juga boleh menjadi sumber maklumat berguna, yang boleh menyumbang kepada usaha memperkukuh keberkesanan keseluruhan usaha PBB dalam pengurusan konflik dan menangani punca sesuatu konflik.

“Sesetengah organisasi serantau mungkin lebih fleksibel dalam soal pengagihan sumber,” katanya semasa perbahasan terbuka mengenai ‘Operasi Keamanan: Perkongsian PBB dengan Organisasi Serantau dan Evolusinya dalam Majlis Keselamatan PBB di New York baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dikeluarkan kepada Bernama di sini semalam.

Hussein berkata ditambah pula dari segi dekatnya geografi, organisasi serantau akan berupaya menghantar aset termasuk askar lebih cepat berbanding PBB, yang selalunya penting dalam usaha menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Beliau turut merujuk pelbagai organisasi antarabangsa, antaranya, Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS), Kesatuan Eropah (EU), Nato dan ASEAN, yang memainkan peranan aktif dalam menyelesaikan pertikaian secara aman di peringkat serantau.

Memandangkan operasi keamanan kini lebih kompleks dan bersifat pelbagai dimensi, Hussein berkata adalah penting bagi pembangunan dasar yang akan dilaksanakan di peringkat antara kerajaan dilakukan secara konsensus.

Sambil meminta pasukan pengaman agar sentiasa prihatin dengan sensitiviti budaya dan keunikan tempatan di kawasan mereka berkhidmat, Hussein berkata usaha itu boleh dicapai dengan menyertai bengkel latihan dan program kesedaran.

“Bagi pihak kami, Malaysia telahpun mewujudkan Pusat Latihan Keamanan Malaysia (MPC) sejak Jun 1995, bagi melatih serta menyediakan pegawai Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia dan badan bukan kerajaan dengan pengetahuan yang sesuai berkaitan menjaga keamanan sebelum bertugas dengan PBB,” katanya.

Sehingga kini, MPC melatih 1,931 pegawai tempatan dan 612 peserta antarabangsa dari 52 negara selain menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi PBB dalam mengendali program latihan. — Bernama

Advertisement