Anda di sini

Kaedah khas untuk cungkil bakat murid-murid ‘istimewa’

Advertisement

KUANTAN: Masyarakat umum biasa membuat tanggapan bahawa kanak-kanak kurang upaya atau ‘istimewa’ sukar berdikari dan memerlukan perhatian khas bagi mereka menjalani kehidupan seharian.

Namun, persepsi ini harus diubah kerana kanak-kanak istimewa ini sebenarnya mempunyai masa depan yang cerah serta kebolehan dan kemahiran tersendiri seperti kanak-kanak normal yang lain jika mereka diberi peluang dan bakat yang dimiliki mereka dicungkil menerusi kaedah-kaedah tertentu.

Atas dasar percaya akan kebolehan golongan istimewa ini, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sekilau, Mat Yunus Yusof mencipta kaedah tersendiri bagi menggilap bakat dan kemahiran yang dimiliki murid-murid pendidikan khas di sekolahnya menerusi aktiviti memasak, menjahit, berkebun dan mencuci pakaian.

Mat Yunus berkata, sekolah terbabit mempunyai 33 murid pendidikan khas pelbagai kategori termasuk hiperaktif, autisme, sindrom down, lembam dan ‘palsi serebrum’ berusia antara tujuh hingga 14 tahun.

“Alhamdulillah aktiviti yang dijalankan ini mendapat kerjasama 14 guru program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta empat pembantu pengurusan murid (PPM) sekolah ini.

“Murid terbabit akan didedahkan dengan ilmu kemahiran asas berkenaan dalam Bengkel Amali Kemahiran Hidup yang diadakan setiap Rabu dan Jumaat bermula jam  7.30 pagi hingga 9 pagi,” katanya kepada Bernama di sini.

Katanya, pada setiap hari Rabu murid-murid berkenaan diajar mengikut kecenderungan masing-masing sama ada menyediakan pelbagai hidangan mudah seperti kek cawan dan coklat, menghasilkan kraf tangan melalui jahitan serta menanam sayuran atau bunga hiasan.

“Manakala pada setiap Jumaat, mereka semua akan diajar cara membasuh pakaian menggunakan tangan bagi membentuk sikap berdikari,” katanya.

Apa yang menggembirakannya, sejak kaedah itu dilaksanakan tiga tahun lalu, ia banyak memberi impak positif kepada perkembangan pembelajaran murid-murid yang terlibat sekali gus memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

“Melalui bengkel berkenaan, murid bukan saja lebih berminat untuk datang ke sekolah malah menjadikan mereka lebih berdikari dan berkeyakinan sekali gus membuka peluang untuk berinteraksi dengan murid lain dan masyarakat.

“Selain itu, program ini turut mendapat sokongan baik daripada ibu bapa terutama anggota Majlis Pemuafakatan Ibu Bapa dan Guru (MPIBG) selepas melihat sendiri perkembangan positif anak mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang ibu kepada murid-murid khas yang dikenali sebagai Suzana berkata usaha pihak sekolah berkenaan harus dicontohi oleh masyarakat sekeliling agar mereka sedar untuk membesarkan dan mendidik anak-anak istimewa ini tidaklah sesukar yang disangka.

Katanya, walaupun tidak dapat menghantar anaknya ke sekolah pendidikan khas ekoran menghadapi masalah kewangan dan kesihatan, namun beliau bersyukur usaha kerajaan menghantar guru pendidikan khas ke rumahnya untuk mengajar anaknya pada setiap hari Selasa.

“Sejak diberi pendedahan oleh guru tersebut, anak saya Nor Salwa, 6, sudah semakin bijak dan boleh mengenali beberapa abjad serta lebih berdikari. Saya harap program ini diteruskan agar kanak-kanak istimewa ini terus diberi peluang untuk hidup dan berjaya seperti insan normal yang lain,” katanya. — Bernama

Advertisement