Anda di sini

Jerebu tidak halang warga Sibu kunjungi rumah terbuka

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus //

ERATKAN PERPADUAN: Andrew Wong (duduk tengah) bersama rombongannya ketika mengunjungi kediaman Dr Annuar (empat kanan) di Jalan Kangkong.

CUACA berjerebu melanda bahagian Sibu tidak menghalang masyarakat majmuk mengunjungi rumah terbuka sahabat handai serta para kenamaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfi tri, Isnin lepas.

Para wartawan dari beberapa organisasi akhbar tempatan di Sibu juga antara ribuan pengunjung yang tidak melepaskan peluang mengunjungi rumah-rumah terbuka yang diadakan.

Antara kediaman yang dikunjungi ialah kediaman Pegawai Penerangan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) Mohd Saleman Ibrahim, kediaman Pegawai Perancang Kewangan Bank Simpanan Nasional (BSN) Zon Sibu Addy Saat yang juga bekas wartawan Utusan Borneo Sibu, kediaman Penyampai Radio Sibu FM Iskandar Joni, kediaman wartawan Utusan Borneo Sibu Borhaniza Ali Basah dan kediaman Pegawai Korporat dan Komunikasi Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) Khairoul Hussen yang juga bekas wartawan Utusan Borneo Sibu.

Turut dikunjungi ialah kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee.

SELAMAT HARI RAYA: Para wartawan mengunjungi kediaman Borhaniza (empat kanan) di Jalan Taman Indah.

Antara kenamaan yang sempat berkunjung ke kediaman Dr Annuar ialah Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Dato Andrew Wong, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Chieng Buong Toon, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling serta ketua-ketua masyarakat dan ahli-ahli badan bukan kerajaan (NGO).

Hari Raya Aidilfi tri sungguhpun disambut secara sederhana oleh kebanyakan umat Islam di Sibu, namun sambutan perayaannya tetap meriah dengan mengadakan rumah terbuka bagi menyambut kunjungan tetamu.

Pelbagai juadah dihidangkan kepada tetamu dan antara yang paling popular ialah kari ayam, rendang dan ketupat selain kek dan biskut.

Kunjungan pada majlis rumah terbuka merupakan satu amalan yang boleh mengeratkan silaturahim dengan masyarakat daripada berbilang kaum sekali gus memupuk semangat 1Malaysia.

Advertisement