Anda di sini

Jamaica terus berkuasa

Advertisement

Atlet balapan Jamaica meraih pingat emas dalam acara 400m wanita, 110m lompat pagar lelaki, lompat kijang

GLASGOW: Jamaica dan Kenya menikmati malam yang boleh diingati pada hari ketiga aksi Sukan Komanwel pada Selasa lepas (waktu Scotland) apabila dua kuasa balapan dan padang itu menuai hasil pingat yang lumayan manakala Kanada turut memperolehi dua pingat emas.

Stephanie McPherson mengetuai kejayaan Jamaica menyapu bersih pingat dalam acara 400 meter wanita yang berkualiti tinggi manakala pingat emas turut dimenangi Andrew Riley dalam acara 110 meter lompat pagar dan Kimberly Williams dalam acara lompat kijang.

Joyce Chepkirui juga enggan ketinggalan dan mengetuai keputusan 1-2-3 oleh Kenya dalam acara 10,000 meter yang perlahan manakala Faith Kibiegon memenangi pingat emas dalam acara 1,500 meter wanita selepas rakan sepasukan yang menjadi pilihan untuk menang Hellen Onsando Obiri pudar dengan teruk.

“Saya begitu gembira kerana Kenya memperolehi satu, dua dan tiga,” kata Chepkirui yang mendahului Florence Kiplagat dan Emily Chebet untuk menang dalam masa 32 minit 09.35 saat selepas larian yang bertenaga 50 meter dari garisan penamat.

Trio Kenya itu mengawal sepenuhnya perlumbaan dari permulaan dan menunggu sehingga para pelari ketinggalan dan loceng berbunyi untuk larian pusingan terakhir sebelum mereka mengambil sebarang langkah.

Kiplagat mendahului ketiga-tiga pelari pada jarak 400 meter terakhir, dengan mata yang melekat pada skrin besar stadium.

Pada jarak 200 meter beliau memecut tetapi Chepkirui bertindak dari bahagian dalam dan memintasnya dengan kelebihan tujuh per seratus saat.

“Ia begitu sengit dekat penamat tetapi saya tahu badan saya cukup cergas,” kata Chepkirui.

“Saya gembira saya dapat menang di Sukan Komanwel pertama saya.”

Ia juga cerita yang sama dalam acara 400 meter apabila McPherson, dalam masa 50.67 saat, mengerahkan seluruh tenaga untuk memintas Novelene Williams-Mills (50.86), yang menjalani mastektomi berganda dalam usahanya memerangi kanser, dan Christine Day (51.09).

Juara bertahan Amantle Montsho dari Botswana, juga juara dunia pada 2011, menamatkan perlumbaan hanya satu per seratus saat sahaja di bawah podium dalam perlumbaan yang tidak disertai juara dunia semasa Christine Ohurugogu yang memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada acara 4×400 meter lari berganti-ganti.

Riley mencatatkan 13.32 saat dalam acara lompat pagar, dicabar sepanjang perlumbaan oleh pemenang pingat perak dari England William Sharman.

Juara bertahan Andy Turner tersingkir pada peringkat separuh akhir manakala atlet pilihan utama Hansle Parchment tidak berlumba.

Kemenangan Williams dalam acara lompat kijang lebih akademik sedikit, dengan ketinggian terbaik 14.21 meter yang memadai untuk menewaskan Laura Samuel (14.09) dari England dengan selesa.

Damian Warner dari Kanada mendominasi dekatlon 10 disiplin selama dua hari yang meletihkan dari acara pembukaan lagi, iaitu 100 meter, apabila beliau mencatatkan 10.29 saat yang pantas.

Pemenang pingat gangsa dunia itu seterusnya mencatatkan jarak terbaik 7.50 meter dalam acara lompat jauh, 14.04 meter dalam acara lontar peluru, 1.96 meter dalam acara lompat tinggi, 47.78 saat dalam acara 400 meter, 13.50 saat dalam acara 110 meter lompat pagar, 41.31 meter dalam acara lontar cakera, 4.50 meter dalam acara lompat bergalah, 61.96 meter dalam acara lontar lembing dan 4 minit 45.43 saat dalam acara ke-10 dan terakhir, iaitu 1500 meter.

Keputusan itu mengumpul 8282 mata untuk dirinya, manakala Ashley Bryant dari England memenangi pingat perak (8109) dan Kurt Felix dari Grenada memperolehi pingat gangsa (8070).

Kanada memenangi pingat emas kedua selepas Jim Steacy memenangi acara lontar tukul lelaki dengan catatan terbaik 74.16 meter, dengan Nicolas Miller dari England yang memenangi pingat perak (72.99). — AFP

Advertisement