Anda di sini

Hoki: Malaysia gagal teruskan kemenangan

Advertisement

GLASGOW: Skuad hoki lelaki negara dikejutkan pasukan bukan pilihan Trinidad and Tobago apabila tewas 2-4 pada aksi ketiga kumpulan B Sukan Komanwel di Stadium Hoki Nasional Glasgow, pada Selasa lalu.

Dalam aksi itu, pasukan Trinidad and Tobago membuka jaringan awal pada minit kelapan menerusi Mickell Peirre dan selang tiga minit kemudian Kwandwane Browne menggandakan kedudukan.

Browne terus menghukum kerapuhan benteng pertahanan skuad negara dengan meledak gol ketiga Trinidad and Tobago pada minit ke-15.

Pemain negara Norhizzat Sumatri kembali mengurang defisit jaringan apabila meledak gol pertama skuad negara pada minit ke-24 tetapi Browne sekali lagi memberi tekanan kepada skuad kebangsaan dengan menjaringkan gol keempat Trinidad and Tobago pada minit ke-35.

Skuad negara cuba bangkit apabila berjaya menjaringkan gol kedua pasukan pada minit ke-69 oleh Muhammad Ramadan Rosli pada minit ke-69 tetapi keputusan 2-4 kekal sehingga tamat perlawanan.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut penolong jurulatih skuad hoki negara K.Gobinathan mengakui skuad kendaliannya bertanggungjawab ke atas keputusan mengejut itu. — Bernama

Advertisement