Anda di sini

Berhati-hati dan berhemah ketika sampaikan maklumat

Advertisement

Hormati dan jangan persenda kepercayaan kaum lain: Polis

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang ramai supaya tidak berhimpun atau berkumpul bagi menyuarakan bantahan berhubung isu klip video yang menyentuh sensitiviti kaum yang tersebar luas.

Bagaimanapun Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Datin Asmawati Ahmad berkata sehingga kini, pihak polis tidak menerima sebarang notis daripada mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan.

“Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana individu yang menganjur serta mengambil bahagian sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas klip video yang tersebar berkaitan seorang individu yang menyentuh sensitiviti kaum melalui ceramah yang diadakan di sebuah majlis ilmu.

Menurutnya, tindakan tersebut dilihat tidak menghormati dan cuba mempersenda kepercayaan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Asmawati berkata orang ramai perlu berhati-hati dan berhemah dalam menyampaikan maklumat khusus melalui majlis ilmu.

Beliau juga berkata pihak yang tidak berpuas hati dengan sebaran isu tersebut supaya membuat laporan polis dan tidak menggunakan platform media sosial bagi menghina, menghukum dan menghentam individu yang terlibat atau melakukan sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang.

Mana-mana pihak yang cuba melakukan atau melakukan apa-apa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut boleh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan bagi kesalahan pertama yang jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, katanya.

Bagi kesalahan berikutnya, pihak berkenaan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun. — Bernama

Advertisement