KUALA LUMPUR: Aspek keselamatan dan amalan baik syarikat merupakan antara komponen utama yang akan dinilai dalam memberi penarafan bintang kepada syarikat bas ekspres dan persiaran di negara ini.
Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dam Biomekanik (VSBC), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Norlen Mohamed berkata penarafan yang diberikan amat berbeza dengan konsep penarafan bintang yang diberi kepada hotel, premis makanan, mahupun tandas awam.
Kriteria utama penarafan bas ekspres dinilai dari segi komitmen dan inisiatif syarikat untuk memastikan keselamatan operasinya, katanya kepada Bernama di sini kelmarin.
“Kita (MIROS) tidak beri dia markah lebih untuk letak televisyen dalam bas, tetapi kita menilai aspek keselamatan. Perkhidmatan hanya sebahagian kecil elemen penilaian,” katanya mengenai sistem baharu itu.
Beliau berkata fokus utama ialah untuk membolehkan pengguna membuat pilihan tepat dalam memilih perkhidmatan bas berdasarkan kepada bintang yang dipamerkan di kaunter tiket dan di dalam bas ekspres atau persiaran berkenaan.
“Dengan penarafan, orang ramai lebih mudah menilai kualiti perkhidmatan kerana penarafan diberi berdasarkan pengurusan operasi yang selamat,” katanya.
Sistem penarafan bintang terhadap pengusaha bas ekspres dan persiaran dimulakan awal bulan ini dengan bertujuan mewujudkan persaingan sihat dan membendung insiden kemalangan melibatkan kenderaan awam itu.
Norlen berkata markah akan diberi jika syarikat memenuhi elemen keselamatan termasuk mempunyai polisi keselamatan syarikat yang jelas, menubuhkan jawatankuasa keselamatan, menyediakan perancangan dan implementasi yang berkesan serta amalan baik berhubung penyelenggaraan kenderaan berkala yang ditetapkan.
“Syarikat harus ada polisi keselamatan yang jelas, secara bertulis dan dipamerkan selain mesti difahami oleh setiap kakitangannya. Ada syarikat yang ada polisi, tapi tidak difahami oleh anak buah.
“Begitu juga jawatankuasa keselamatan harus dipengerusikan oleh pengurusan tertinggi, perlu aktif bermesyuarat dan membincangkan isu-isu keselamatan dalam syarikat serta mengambil tindakan segera jika ada isu berbangkit,” katanya.
Dari segi pemandu, penilaian akan dibuat berdasar kepada kriteria pemilihan pemandu, pelaksanaan waktu dan tempoh bekerja serta kaedah pemantauan pemandu dan kenderaan yang disediakan oleh syarikat, katanya.
Turut dinilai aspek kesihatan, kebersihan, pematuhan waktu perkhidmatan bas dan keselesaaan pengguna, katanya yang menambah semua operasi syarikat perlu didokumentasikan bagi memudahkan urusan audit oleh MIROS.
“Audit dibuat berdasarkan bukti dan bukan dakwaan syarikat berkenaan. Ini untuk memastikan apa yang dikatakan, benar-benar dilaksanakan dan seterusnya menjamin keselamatan penumpang bas yang memilih perkhidmatan syarikat berkenaan,” katanya.
Penarafan sehingga maksimum lima bintang hanya akan dikeluarkan oleh MIROS sekiranya syarikat-syarikat berkenaan memenuhi kriteria penilaian yang ketat.
Menurut Norlen, setakat ini audit hanya dilakukan secara sukarela di mana mana-mana syarikat bas di seluruh negara boleh membuat permohonan untuk diaudit bagi tujuan penarafan oleh MIROS.
Bagaimanapun, katanya penerimaan daripada pengusaha-pengusaha bas terhadap sistem baharu ini semakin positif apabila jumlah yang tampil dan memohon untuk dinilai semakin bertambah. — Bernama