Anda di sini

UPP utama golongan muda teraju parti

Advertisement

MIRI: Parti Rakyat Bersatu (UPP) mahu belajar daripada kesilapan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan memberi keutamaan kepada golongan muda dalam menerajui perjuangan parti.

Peneraju UPP Dato Sri Wong Soon Koh, berkata parti mereka mempunyai objektif yang jelas iaitu mahu golongan muda diberi peluang memimpin bukannya membiarkan parti dikawal oleh ‘old guy’ seperti yang berlaku dalam SUPP.

“UPP akan diterajui oleh golongan muda dan tidak akan dikawal oleh orang lama.

“Saya sedih dengan apa yang menimpa SUPP, mereka dikawal dan didominasi oleh orang lama.

“Bukan hanya di peringkat tertinggi malah peringkat cawangan dikuasai oleh golongan veteran,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas majlis makan tengah hari di sini semalam Wong berkata, walaupun UPP mempunyai ahli-ahli veteran namun mereka tidak menerajui parti.

Dalam perkembangan berkaitan, penubuhan UPP akan dilancarkan secara rasmi pada 16 Ogos depan di Kuching.

Wong menambah, ini merupakan satu permulaan baharu dan beliau berharap mendapat sokongan daripada masyarakat bandar khususnya kaum Cina.

“Ini merupakan parti berbilang kaum dengan menekankan masyarakat di bandar sebagai mana yang dilakukan oleh SUPP.

“Ia merupakan parti yang berjuang untuk keadilan, persamaan hak dan kepentingan rakyat Sarawak,” katanya.

Tegas beliau, UPP akan bekerjasama dengan Ketua Menteri dan Perdana Menteri atas semangat kekeluargaan Barisan Nasional (BN) demi manfaat seluruh rakyat negeri ini.

“Saya enggan mendedahkan banyak maklumat mengenai UPP, tunggulah selepas pelancarannya pada 16 Ogos nanti,” katanya.

Terdahulu, Wong menyampaikan cek kepada empat persatuan dan pertubuhan iaitu Kelab Kaligrafi Cina dan Seni Budaya Limbang dan Pertubuhan Persatuan Cina Limbang masing-masing RM10,000 dan Pertubuhan Persatuan Cina Miri dan Persatuan-Persatuan Sekolah Rendah Bantuan Cina Bersekutu Bahagian Miri Limbang masing-masing RM20,000.

Advertisement