Anda di sini

Upacara penghormatan tertinggi sambut jenazah penumpang MH17

Advertisement

KUCHING: Kerajaan akan mengadakan satu upacara penghormatan tertinggi dengan penuh isitiadat bagi menyambut kesemua jenazah penumpang nahas pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, upacara berkenaan akan dikendalikan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Ia satu upacara penuh istiadat sebab kita pernah melihat di Amsterdam upacara juga disertai Raja dan Permaisuri maka kita juga akan adakan upacara sama.

“Namun perincian akan dikendalikan oleh Datuk Seri Hishammuddin kerana ia melibatkan askar dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Astana di sini, semalam.

Menurut Rohani, kementeriannya telah dipertanggungjawabkan dari segi kaunselor kepada kesemua waris mangsa bukan sahaja warganegara tetapi kesemua penumpang pesawat berkenaan.

“Pegawai kami kini juga sedang bertugas dan bila-bila masa sahaja akan dipanggil untuk persiapan hendak menguruskan jenazah yang datang, maka sejurus sahaja Amsterdam sudah bersedia, kami akan uruskan jenazah ke Malaysia.

“Saya baharu sahaja mengadakan mesyuarat bersama waris dan ahli keluarga di Kuala Lumpur untuk meminta pendapat mereka mengenai bagaimana mengurus jenazah mengikut kemahuan mereka,” tegasnya.

Tambah beliau setiap waris diberi pilihan masing-masing sama ada jenazah akan dibawa ke kampung halaman atau alternatif lain yang diuruskan pasukan jabatan agama masing-masing.

“Ini adalah pilihan mereka dan Khamis ini kami akan mendapat pendirian (keputusan) daripada mereka kerana kami mahu mengaturkan logistik.

“Logisitik maknanya, menghantar jenazah terus ke tempat yang mereka mahukan sama ada masjid, surau atau tanah perkuburan,” kata Rohani.

Sementara itu antara mangsa nahas yang berasal dari Kuching ialah Tambi Jiee, 49, serta isterinya Ariza Ghazalee, 47 dan empat anak mereka iaitu Alif, 19, Afzal, 17, Marsha, 15 dan Afruz, 13.

Seorang lagi rakyat Sarawak turut terlibat dalam nahas, Meling Mula, 48, dari Bintulu.

Advertisement