Anda di sini

Tabuan Melayu dan Sejingkat akan dibangunkan semula, kata Dr Hazland

Advertisement

KUCHING:Kerajaan negeri telah mengenal pasti dua lokasi di kawasan Demak Laut iaitu Tabuan Melayu dan Sejingkat untuk dibangunkan semula dalam tempoh dua tahun ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, pihak HDC akan membina 300 unit rumah di dua bangunan pangsapuri 12 tingkat di Kampung Selipar Putus, Tabuan Melayu.

“Sudah ada pelan perancangan dan kami bermula di Tabuan Melayu dan di sebuah perkampungan yang dinamakan Kampung Selipar Putus dan sebahagian Kampung Tabuan Hilir yang mempunyai lebih daripada 100 rumah.

“Ini bermakna penduduk yang tinggal di kawasan tepi sungai Tabuan Hilir dan Tabuan Melayu akan dipindahkan ke pangsapuri tersebut yang dijangka siap dalam dua tahun lagi.

“Projek itu akan dimulakan dalam tahun ini pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri keluarganya di Kasuma Resort Club House di sini semalam.

Pihaknya sebelum ini telah merancang mengadakan sesi dialog bersama para penduduk yang mempunyai geran tanah dan mereka yang tidak memilikinya bagi membincangkan soal pampasan berkenaan.

Menurut beliau lagi, terdapat tujuh rumah di kawasan terbabit yang memiliki geran tanah dan pihaknya masih menunggu butiran lanjut bagi menyerahkan pampasan kepada mereka yang terlibat.

Pada masa yang sama, beliau berkata penduduk di kawasan itu bersetuju dengan pembangunan semula kawasan berkenaan yang akan disertai dengan prasarana lain seperti masjid, perparitan dan sebagainya.

Bagaimanapun, setelah siap unit rumah pangsa berkonsepkan rumah pangsa di Singapura yang dilengkapi tiga bilik tidur itu akan digunakan sebagai pusat transit (sementara).

Selepas bermulanya pembinaan pangsapuri berkenaan penduduk akan berpindah dan tinggal bersama keluarga saudara yang lain untuk sementara waktu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan berapa nilai projek berkenaan dan memberitahu bahawa penduduk akan dikenakan bayaran sewa sebanyak RM100 sebulan setelah mendiaminya kelak.

“Saya sudah beberapa kali bercakap mengenai perkara ini di kabinet selama ini dan pembinaan semula Rumah Mesra Rakyat (RMR) akan dilaksanakan mungkin memakan masa 10 tahun kerana ia melibatkan beribu-ribu rumah.

“Jumlah kos seunit RMR dianggarkan 60,000 jadi itu kena tunggu peruntukan dana lagi dan apabila siap ia akan menjadi model contoh di kawasan-kawasan lain untuk dibangunkan,” tambahnya.

Kawasan Sejingkat juga akan diperbesarkan sehingga ke jalan utama melibatkan surau dan rumah kedai tetapi akan dijalankan secara berperingkat- peringkat.

Menurut beliau dengan adanya sistem sedemikian, kawasan kampung akan menjadi lebih teratur dan selesa untuk didiami dan dimajukan pada masa depan.

Dr Hazland dan isteri, Dayang Halimah Abang Paul semalam sibuk melayan tetamu, sanak-saudara dan sahabat-handai yang datang melawat mereka.

Advertisement