Anda di sini

Syabas atlet Malaysia

Advertisement

Najib ucap tahniah kepada Nicol dan pasukan beregu campuran badminton

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada ratu skuasy negara dan pasukan beregu campuran badminton meraih pingat emas kedua dan ketiga Malaysia pada Sukan Komanwel ke-20 Glasgow, Scotland.

“Datuk @Nicol Ann David lakukannya sekali lagi, syabas kepada beliau dan pasukan beregu campuran badminton kita,” kata Najib dalam tweet beliau semalam.

Dalam pertemuan final pada Isnin, Datuk Nicol David menewaskan musuh tradisinya dan pemain nombor dua dunia Laura Massaro dari England dengan keputusan 12-10, 11-2, 11-5 dalam pertarungan 44 minit yang berlangsung di Scotstoun Sports Campus.

Ini merupakan pingat emas kedua bagi Nicol sejak penyertaannya pada Sukan Komanwel.

Pasukan beregu campuran badminton itu mempertahankan pingat emas acara itu selepas menewaskan pasukan England 3-1 pada final di Emirates Arena.

Pingat emas pertama kontinjen Malaysia disumbangkan melalui atlet angkat berat Mohd Hafifi Mansor dalam kategori 69kg.

Sepanjang penyertaan Malaysia dalam Sukan Komanwel, kontinjen negara telah memenangi dua pingat emas di Victoria, Kanada pada 1994; 10 emas di Kuala Lumpur (1998); tujuh emas di Manchester, England (2002) dan Melbourne, Australia (2006) dan pungutan terbaik 12 emas, di New Delhi, India (2010). — Bernama

Advertisement