Anda di sini

SUPP mungkin akan menyaman UPP: Chin

Advertisement

Oleh Sandy Mark Luna //

Parti lihat kemungkinan itu kerana mereka gunakan nama hampir sama dengan SUPP

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sedang melihat kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Parti Rakyat Bersatu (UPP) kerana menggunakan nama hampir sama dengan parti tersebut.

Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin berkata, bagaimanapun parti sedang mengkaji peraturan-peraturan pelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum tindakan seterusnya dibuat.

“Kami sedang melihat pada peraturan-peraturan kelulusan parti oleh ROS, yang mempunyai nama berhubung rapat dengan kami. Kami sedang menelitinya daripada aspek undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Undangan Negeri lama di Petra Jaya di sini, semalam.

Empat ahl SUPP yang meninggalkan parti bagi menyertai UPP adalah Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan, Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili), Ranum Mina (Opar) dan Datuk Dr Jerip Susil (Bengoh).

Pada awalnya iaitu 15 Mei lalu, kumpulan itu mengumumkan secara terbuka keputusan meninggalkan SUPP bersama tujuh lagi wakil rakyat BN untuk menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) selepas parti itu diluluskan ROS pada hari sebelumnya.

Dalam perkembangan lain, Chin ketika ditanya mengenai Persidangan Delegasi Tiga Tahun Sekali (TDC) yang bakal diadakan bulan depan berkata, setakat ini pemilihan di peringkat cawangan berjalan lancar.

“Persediaan berjalan lancar untuk TDC. Saya tidak melihat sebarang kemungkinan kenapa ia tidak dapat berjalan lancar kerana individu-individu yang kurang senang dengan kita telah keluar parti,” katanya.

TDC dijadualkan berlangsung pada 23 dan 24 Ogos ini sementara kesemua cawangan dan cawangan kecil termasuk sayap Wanita dan Pemuda sedang menjalani pemilihan yang bakal berakhir 3 Ogos ini.

Advertisement