Anda di sini

Lelaki maut dalam kemalangan

Advertisement

BINTULU: Seorang lelaki berusia 30-an maut dalam kemalangan setelah kereta pacuan empat roda dinaiki bersama rakannya yang merupakan pemandu kenderaan itu terlibat dalam kemalangan di Kilometer 114 Jalan Bintulu- Sungai Asap, jam 1 petang kelmarin (Isnin).

Menurut sumber, semasa kejadian kenderaan dinaiki tiga individu itu dikatakan dalam perjalanan dari Sungai Asap, Belaga menuju bandar Bintulu.

Mangsa yang belum dapat disahkan identitinya semasa kejadian duduk di sebelah pemandu kenderaan terbabit, sebelum kereta dinaiki ketiga-tiga mereka terbabas lalu melanggar penghadang jalan lalu terbalik.

Rakan yang duduk di bahagian belakang kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan mangsa meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan berkenaan hanya mengalami cedera ringan.

Sejurus menerima maklumat berhubung insiden berkenaan sekitar jam 1.27 petang, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu bergegas ke tempat kejadian bagi menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit di celah-celah kenderaan remuk itu.

Mayat mangsa kemudiannnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi membolehkan siasatan lanjut insiden itu dilakukan.

Advertisement