Anda di sini

Bersama menjaga kualiti udara

Advertisement

Oleh Reno Benjamin //

Penduduk perlu elak dari melakukan pembakaran terbuka di sawah

SIBU: Kualiti udara yang kurang baik di sini memerlukan orang ramai termasuk penduduk di luar bandar dan rumah panjang bersama-sama menjaga kualiti udara daripada terus menjadi lebih buruk.

Penghulu James Semilan berkata, penduduk rumah panjang terutama yang mengerjakan sawah padi perlu mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka di sawah padi mereka.

“Meskipun kita tahu sekarang bermulanya musim mengerjakan sawah padi, namun dengan keadaan jerebu semakin buruk di Sibu kami menasihati pesawah agar menangguhkan sementara aktiviti pembakaran di sawah padi masing-masing.

“Begitu juga pekebun, mereka juga dinasihati tidak melakukan pembakaran terbuka bagi membersihkan kawasan kebun masing-masing,” katanya di sini semalam.

Sibu mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling tinggi iaitu 204 pada jam 6 pagi semalam sebelum beransur-ansur baik iaitu 168 jam 11 pagi.

Menurut James, penduduk rumah panjang dan para pesawah dinasihati agar lebih berhati-hati apabila hendak melakukan pembakaran di sawah padi mereka.

Ini kerana, api boleh merebak dengan cepat ketika musim kemarau sekali gus menjadi satu kebakaran besar.

“Sebelum meninggalkan sawah atau kebun, pastikan api telah dipadamkan sepenuhnya,” katanya sambil menasihati mereka yang merokok agar tidak membuang puntung rokok sesuka hati.

Sementara itu, tinjauan Utusan Borneo di sini semalam mendapati terdapat sesetengah pesawah padi mula membersihkan sawah masing-masing dengan cara melakukan pembakaran.

Tinjauan juga mendapati di sepanjang Jalan Sibu-Bawang Assan-Tanjung Manis masih ada pihak melakukan pembakaran terbuka dipercayai punca utama kualiti udara di sini merosot.

Kontroler Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Peter Sawal sebelum ini memberitahu bahawa permit pembakaran terbuka akan dibekukan sekiranya IPU melepasi bacaan 100 di kawasan tertentu.

“NREB akan memantau keadaan termasuk membekukan permit bagi melakukan pembakaran terbuka jika kualiti udara terus bertambah buruk,” katanya.

Sehingga jam 11 pagi semalam, Sibu mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu 168, diikuti Sri Aman (109) dan Samarahan (107).

Kawasan lain mencatat bacaan IPU sederhana ialah Sarikei (80), Kapit dan Kuching (73) serta Bintulu (53).

Advertisement