Anda di sini

Bantuan mangsa nahas MH17 akan dibincang

Advertisement

Oleh Agnes Tugong //

Adenan akan panggil mesyuarat kabinet bincang bentuk bantuan kepada keluarga mangsa dari Sarawak

KENANGAN: Adenan (empat kiri) dan Jamilah (tiga kiri) bergambar bersama Jabu (lima kiri) Dato Sri Wong Soon Koh (enam kiri) dan yang lain di BCCK.

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem akan memanggil mesyuarat kabinet dalam masa terdekat ini bagi membincangkan bentuk bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa nahas pesawat MH17 dari Sarawak.

Bercakap pada sidang media sempena Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) kelmarin, Adenan berkata kerajaan negeri turut berkongsi keperitan yang ditanggung keluarga mangsa.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan apa bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada keluarga mangsa sehingga diputuskan oleh kabinet pada mesyuarat yang akan diadakan nanti.

“Saya akan memanggil mesyuarat kabinet tidak lama lagi untuk melihat apa yang dapat kita lakukan untuk mangsa-mangsa nahas pesawat MH17 terutama dari Sarawak.

“Saya tidak boleh memberikan maklumat terperinci kepada anda sekarang dan juga mangsa-mangsa MH17 tetapi yang jelas kami turut berkongsi kesedihan dengan mereka yang kehilangan orang tersayang,” ujarnya ringkas.

Terdahulu Adenan yang segak berbaju Melayu sedondon dengan isterinya Puan Sri Datuk Jamilah Anu menyatakan rasa gembira beliau menerima kunjungan ribuan pengunjung untuk meraikan sambutan Hari Raya bersama beliau dan keluarga di BCCK.

“Kami amat gembira menerima kehadiran mereka semua yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama dari seluruh Sarawak.

“Inilah cara kita di Sarawak dan kita mesti mempertahankan tradisi ini demi kebaikan masa depan negeri kita yang tercinta,” ujarnya.

Dalam pada itu meskipun disambut secara sederhana sebagai tanda menghormati insiden pesawat MH17, sambutan rumah terbuka Adenan sebagai Ketua Menteri buat julung kalinya semalam tetap meriah.

Antara yang hadir pada rumah terbuka beliau ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta isteri Dato Sri Empiang Jabu dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani.

Turut hadir Menteri Kanan yang juga Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, Menteri Kanan merangkap Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom, Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg serta menteri-menteri kabinet yang lain.

Rumah terbuka berkenaan dibuka mulai jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 2.00 petang hingga 4.00 petang pada Hari Raya pertama dan mulai jam 10.30 pagi hingga 1.30 petang pada Hari Raya kedua.

Advertisement