Anda di sini

Air dipam bagi hadapi masalah air di Saratok

Advertisement

KUCHING: Kerajaan akan mengepam air dari sumber di Lubau Ulu Layar, Betong dan takungan Gerugu, Sarikei sebagai pilihan terakhir untuk menghadapi masalah ketiadaan air di Saratok jika kemarau yang mengeringkan Sungai Lichok berpanjangan.

Justeru, Menteri Pembangunan Sosial selaku Ahli Parlimen Saratok Tan Sri William Mawan Ikom meminta semua penduduk terjejas agar bersabar kerana tindakan segera sedang dilaksanakan.

“Saya berharap semua bersabar…kami sedang menyelaraskan usaha untuk menghantar bekalan air ke kawasan yang terjejas.

“Saya sendiri, Ahli Parlimen Betong, ADUN Kalaka dan ADUN Layar akan menggunakan wang daripada dana projek kecil luar bandar (MRP) atau bencana alam masing-masing untuk membiayai kos pengangkutan bagi penghantaran air ke kawasan terjejas,” katanya yang merujuk kepada Dato Sri Douglas Uggah Embas, Datuk Abdul Wahab Aziz dan Datuk Painggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Mawan berkata beliau juga telah melawat loji rawatan air Lichok di Saratok pada Isnin lalu dan memberitahu bahawa kontraktor berkaitan akan bersama-sama berusaha mengepam sebanyak mungkin air dari sungai untuk diisikan ke dalam tangki air di loji berkenaan.

Selain itu, katanya agensi berkaitan juga akan melakukan lawatan tambahan sebagai usaha mereka membekalkan air kepada penduduk yang terjejas termasuk penduduk yang tinggal berdekatan Saratok.

Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri sebelum ini telah menyatakan bahawa pembenihan awam akan dijalankan di beberapa bahagian di seluruh negeri bagi menghadapi musim kemarau El Nino yang sedang melanda sekarang.

Jelasnya, operasi pembenihan awam tersebut akan dilakukan di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sarikei.

Advertisement