Anda di sini

Aidilfitri disambut sederhana sebagai menghormati mangsa nahas MH17

Advertisement

KUCHING: Hari Raya Aidilfitri di Sarawak disambut secara sederhana sebagai menghormati mangsa nahas pesawat MH17 yang dipercayai ditembak pihak pemisah Ukraine, baru-baru ini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata pihaknya menghormati kehilangan ahli keluarga mangsa MH17 namun ziarah-menziarahi pada Hari Raya merupakan amalan.

“Rumah terbuka kita buat untuk mengeratkan silaturahim dan tidak bermakna kita tidak menghormati mangsa pesawat MH17 itu.

“Kita teruskan dengan rumah terbuka dengan menggalakkan rakan-rakan kita daripada pelbagai kaum bersama- sama dengan kita berziarah dari pagi hingga petang,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Matang semalam.

Beliau sendiri menyatakan rasa suka melihat kedatangan pelbagai persatuan dan orang ramai daripada kalangan Orang Ulu, Iban, Cina, Bidayuh dan mereka yang beragama Islam ke kediamannya semalam.

Kata beliau, rakyat Sarawak ikhlas bertandang ke rumah pemimpin negeri dan akan sentiasa hidup dalam aman dan damai.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakyat Sarawak, maaf zahir dan batin sekiranya tersalah tutur kata dan perbuatan dan bagi projek-projek yang belum dilaksanakan diharapkan bersabar,” tambahnya kemudian.

Pada masa yang sama, Daud memberi komen sinis terhadap pemimpin pembangkang DAP dan PKR dengan menyatakan tidak wujud persefahaman antara kedua-dua parti itu.

“Macam mana mereka hendak memimpin Malaysia atau negeri Sarawak kalau mereka tidak bekerja sama antara satu sama lain seperti yang kita lihat di Selangor, mereka bergaduh sesama sendiri tentang masalah Menteri Besar dan sebagainya.

“Kalau mereka selalu bergaduh, maksudnya mereka tidak berkebolehan untuk memimpin negeri dan negara kita.

“Kita berharap rakyat faham… mereka (rakyat) pandai menilai. Setakat ini rekod BN masih baik.

“Kalau ada pertelingkahan kita gunakan konsep Barisan Nasional untuk menyelesaikan masalah,” katanya.

Sementara itu, Daud yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong turut memberi geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada Gereja St John, Kampung Sagah (RM100,000), Tua Pek Kong di Tanjung Embang Matang (RM30,000), JKKK Desa Wira (RM18,000), Persekutuan Nanyang Wushu (RM10,000) dan Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (RM5,000).

Advertisement