Anda di sini

Waspada dengan jejaka Afrika

Advertisement

KUCHING: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr James Dawos Mamit menasihati wanita masyarakat Bidayuh supaya berhati-hati agar tidak terperangkap dengan pujuk rayu lelaki warga asing terutama dari Afrika yang cuba mengumpan mereka dalam kegiatan haram termasuk pengedaran dadah.

Menurut Dawos ada beberapa kes wanita Bidayuh menjadi mangsa penipuan warga Afrika dan berakhir sebagai pengedar dadah.

“Kita tidak mahu insiden seperti ini berulang dan saya suka mengingatkan wanita Bidayuh kita supaya lebih berwaspada supaya tidak terpedaya dengan orang asing yang tidak bertanggungjawab,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 Persatuan Bisapug Sarawak di sini malam kelmarin.

Oleh itu, Dawos berkata pasukan RELA perlu digerakkan untuk menyiasat warga asing ini bagi mengetahui tujuan mereka memasuki kawasan kampung.

“Halau mereka jika didapati mempunyai niat yang tidak baik,” katanya.

Dawos juga menasihati masyarakat Bidayuh supaya bersatu bagi mempertahankan hak mereka.

Beliau juga meminta masyarakat itu supaya memperlengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang sesuai untuk bersaing dengan kaum lain dalam semua bidang. — Bernama

Advertisement