Anda di sini

Skuas: Nicol tempah slot ke saingan separuh akhir

Advertisement

GLASGOW, Scotland: Pemain skuasy wanita nombor satu dunia dari Malaysia Datuk Nicol Ann David mudah mara ke peringkat separuh akhir Sukan Komanwel Ke-20 pada Sabtu lepas (waktu Scotland).

Nicol menewaskan Jenny Duncalf dari England 3-1 pada peringkat suku akhir dalam perlawanan yang berlangsung selama 56 minit.

Pemain berusia 30 tahun dari Pulau Pinang itu memenangi dua permainan pertama 11-9 dan 11-7 tetapi Jenny mengawal semula perasaan dalam permainan ketiga dan memenanginya 11-5.

Bagaimanapun Nicol berjaya memenangi perlawanan dengan catatan 11-4 dalam permainan keempat.

“Jenny merupakan seorang pemain yang begitu berpengalaman. Beliau benar- benar meningkatkan permainannya pada hari ini dan beliau amat tajam. Saya terpaksa mengerahkan keringat dan begitu berwaspada dalam permainan keempat. Perlawanan amat sengit sekali dari mula lagi,” kata Nicol.

Beliau akan menentang Joelle King dari New Zealand untuk menempah tempat pada peringkat akhir.

Joelle menempah tempat pada peringkat separuh akhir selepas beliau menewaskan pemain Ireland, Madeline Perry, 11-6, 11-4, 11-6 dalam perlawanan yang memakan masa 36 minit.

Mengenai peluangnya dalam perlawanan menentang Joelle, Nicol berkata: “Saya pasti perlawanan yang hebat esok. Beliau ternyata seorang pemain yang harus diberi tumpuan.” — Bernama

Advertisement