Anda di sini

Program Keusahawanan iM Sarawak tingkatkan pendapatan peniaga kecil

Advertisement

SIBU: Program Keusahawanan iM Sarawak diperkenalkan pada November tahun lalu kepada peniaga kecil negeri ini berjaya membantu mereka melonjakkan pendapatan bulanan keseluruhan dengan 262 peratus secara purata.

Ahli Majlis Penasihat Sarawak 1Malaysia (1MSAC) Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie berkata program tersebut bertujuan membantu meningkatkan kualiti hidup peniaga kecil dalam komuniti luar bandar dan pedalaman dan direka untuk membawa manfaat jangka panjang yang mapan untuk peserta dengan faedah limpahan kepada masyarakat.

“Program bermula pada November 2013 menarik 167 peserta dalam fasa pertama yang berakhir Mei lalu dan peserta mencapai peningkatan pendapatan bulanan keseluruhan dengan 262 peratus secara purata.

“Misalnya di Kapit, seramai 50 peniaga kecil mengambil bahagian dan mereka mencapai peningkatan pendapatan bulanan purata seba-nyak 155 peratus selepas menghadiri program ini,” katanya menerusi kenyataan media di sini semalam.

Katanya oleh kerana mencapai kejayaan pada fasa pertama program ini meneruskan fasa keduanya dijangka bermula pada Ogos depan meliputi lebih banyak kawasan di Sarawak dan untuk mendekati lebih ramai masyarakat.

Bercakap lanjut mengenai program itu, Irwan berkata peserta program itu didedahkan dengan sesi mentor satu bulan untuk membantu mereka mengamalkan apa yang mereka belajar di bengkel.

Jelasnya, beberapa kriteria untuk penyertaan termasuk usaha memperbaiki kehidupan mereka dan kesediaan menjadi inovatif.

“Majoriti peserta yang menamatkan program ini mempunyai keyakinan baharu, tinjauan segar tentang bagaimana untuk mengembangkan perniagaan mereka dan keazaman membina kehidupan lebih baik untuk keluarga dan masyarakat.

“Kami membantu masyarakat dengan cara kecil tetapi berkesan sambil memahami keperluan asas mereka,” katanya.

iM Sarawak merupakan inisiatif pembangunan sosial di bawah 1MSAC dan dilaksanakan oleh Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) dan Yayasan Pembangunan 1Malaysia Berhad (1MDB) membantu meningkatkan kualiti hidup pelbagai masyarakat di luar bandar dan pedalaman negeri ini.

Dalam setiap projek iM Sarawak, ia menanamkan semangat kekitaan dan membantu masyarakat.

iM Sarawak juga menggalakkan peserta berdikari mengusahakan perusahaan mereka dengan sedikit bantuan daripada majlis itu.

Advertisement