Anda di sini

Pesuruhjaya Sukan kesal beberapa persatuan abaikan tanggungjawab

Advertisement

KUCHING: Pesuruhjaya Sukan Negeri, Lamat Nyalau kesal beberapa persatuan sukan di Sarawak mengabaikan tanggungjawab sebagai persatuan sukan.

Menurutnya, antara tugas-tugas penting yang perlu dijalankan di Sarawak adalah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan mengemukakan laporan tahunan ke Suruhanjaya Sukan Negeri Sarawak.

Salah satu contoh beberapa persatuan sukan di Sarawak mengabaikan tanggungjawab adalah untuk 2014, hanya 170 persatuan yang telah menghantar laporan daripada jumlah keseluruhan 350 persatuan sukan di Sarawak.

“Kebanyakan persatuan sukan di Sarawak diarahkan mengadakan mesyuarat dan menghantar laporan sebelum Mac tahun ini.

“Bagi saya, ini merupakan masalah serius yang perlu ditangani,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sekiranya mana-mana persatuan ingin menangguhkan AGM kepada tarikh selepas Mac, mereka seharusnya memaklumkan pejabat Suruhanjaya Sukan Negeri Sarawak sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh AGM dicadangkan.

“Mana-mana persatuan yang ingin menangguhkan AGM perlu memberi sebab munasabah kerana Suruhanjaya Sukan Negeri Sarawak melihat (penangguhan AGM) sebagai perkara serius,” katanya.

Beliau berkata, semua persatuan sukan di negeri ini telah pun dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Selain itu, beliau turut mengingatkan persatuan- persatuan sukan di negeri ini kegagalan mematuhi keperluan Suruhanjaya Sukan Negeri Sarawak menyebabkan persatuan-persatuan itu dihukum di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pembangunan Sukan 1997.

Namun sebelum sebarang tindakan diambil pihaknya memberi peringatan berhubung perkara itu dan persatuan-persatuan berkenaan hanya perlu menghubungi pejabat serta berhubung terus dengan mereka.

Advertisement