Anda di sini

Pemilihan Pemuda SUPP Cawangan Batu Kawa berjalan lancar

Advertisement

KUCHING: Pemilihan sayap Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Batu Kawa semalam berjalan lancar.

Pada pemilihan yang berlangsung di pejabat SUPP Cawangan Batu Kawa itu semalam, Chen Tzeum Ling dipilih sebagai ketua pemuda baharu menggantikan Phiong Pak Sem.

Sebelum pemilihan, Phiong berkata ahli-ahli Pemuda cawangan mengharapkan lebih banyak bantuan kewangan bagi menjalankan pelbagai program pada masa depan.

Beliau turut mendapati sebilangan ahli Pemuda mempunyai kecenderungan memberi alasan untuk tidak menghadiri aktiviti anjuran cawangan atau sayap Pemuda.

“Kami berusaha menarik lebih ramai muka-muka muda pada mesyuarat dan aktiviti akan datang.

“Saya harap mereka akan berhenti memberi alasan untuk kerap tidak hadir sepanjang masa,” katanya.

Sementara itu Tan Joo Phoi ketika mempengerusikan pemilihan itu semalam menggesa sayap Pemuda untuk mengambil lebih ramai profesional yang baharu dan muda tanpa mengira latar belakang bagi membantu memperkukuhkan cawangan.

Katanya cawangan memerlukan lebih ramai profesional dan sebolehnya yang muda untuk lebih berkesan dalam berkhidmat kepada masyarakat.

“Kami mahu lebih ramai ahli terus komited dalam kerja-kerja khidmat sosial. Jangan risau mengenai duit kerana cawangan akan membiayai aktiviti berkaitan khidmat masyarakat.

“Cawangan bukan sahaja memerlukan tenaga muda untuk memperkukuhkan cawangan tetapi juga parti secara keseluruhannya,” katanya.

Advertisement