Anda di sini

Pelajar Curtin Sarawak belajar projek tenaga diperbaharui di Bario

Advertisement

Oleh Sudan Ajang //

DISOKONG: Jawatankuasa IEEE Cawangan Pelajar Curtin Sarawak (dari kiri) Esther Ling, Siaw Teck Ung, Sim Zee Ang dan Esther Kueh bersama Baru (tengah).

SERAMAI 13 pelajar dari Jabatan Elektrikal dan Kejuruteraan Komputer (ECE), Sekolah Kejuruteraan dan Sains Universiti Curtin Malaysia Sarawak (Curtin Sarawak) mengadakan lawatan ke Bario bagi menambah pengetahuan mengenai tenaga boleh diperbaharui yang dilaksanakan di sana.

Rombongan diketuai oleh pensyarah kanan dari Jabatan ECE, Dr Garenth Lim King Hann.

Ia dianjurkan oleh Institut Jurutera Elektronik dan Elektrikal (IEEE) cawangan pelajar Curtin Sarawak bertujuan mengkaji dan menganalisis sumber tenaga boleh diperbaharui yang ada di Bario.

Ini termasuk projek tenaga boleh diperbaharui seperti angin, hidro dan solar yang dibiayai oleh kerajaan.

Lawatan sambil belajar ke Bario itu mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen Ba’ kelalan, Baru Bian.

Semasa di sana, rombongan disambut oleh penduduk kampung dan tinggal di Bario Asal Homestay.

Mereka turut melawat klinik kesihatan yang beroperasi menggunakan sistem tenaga hibrid, tenaga solar dan diesel.

INDAH: Peserta bersama pemandu Penan di kaki Gunung Doa.

Selain itu, mereka juga melawat Pusat Tele e-Bario di Padang Pasir, pusat tenaga solar di Arur Dalan yang menjana kuasa dengan kapasiti 60kw dan mereka turut membantu membuka turbin angin.

Selain itu rombongan turut berkunjung ke Empangan Bario di Bario Asal yang mampu menjana kuasa 100kw.

Para pelajar turut mengadakan ceramah dan sesi berkongsi pengalaman mengenai manfaat projek tenaga boleh diperbaharui dalam jangka masa panjang dengan penduduk kampung.

Presiden IEEE Cawangan Pelajar Curtin Sarawak yang juga pelajar tahun akhir kejuruteraan komunikasi dan elektronik, Saaveethya Sivakumar berkata, lawatan itu merupakan peluang baik kepada pelajar untuk mempelajari projek tenaga boleh diperbaharui di Bario.

“Saya percaya kajian dan analisis yang kita laksanakan ini akan membawa kepada peningkatan dan penambahbaikan projek tenaga boleh diperbaharui yang ada sekarang untuk manfaat penduduk Bario,” katanya.

Peserta Esther Kueh berkata, lawatan itu membuka mata untuk mengenal pasti lebih banyak potensi tenaga boleh diperbaharui di luar bandar Sarawak yang jika diterokai sepenuhnya dapat meningkatkan kadar bekalan elektrik di negeri ini.

Advertisement