Anda di sini

Nur Suryani menang gangsa dalam acara 10 meter air rifle

Advertisement

CARNOUSTIE, Scotland: Penembak negara Nur Suryani Mohd Taibi memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter air rifle individu wanita di Sukan Komanwel Glasgow di Barry Buddon Shooting Centre di sini Sabtu lepas (waktu Scotland).

Nur Suryani mengumpul 184.4 mata manakala pingat emas dan pingat perak dimenangi penembak dari India.

Arpuvi Chandela membawa pulang pingat emas dengan 206.7 mata manakala Ayonika Paul terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dengan 204.9 mata.

“Saya berpuas hati dengan persembahan saya pada hari ini, ia tidak dapat dinafikan penembak dari India adalah antara yang terbaik di dunia,” katanya kepada pemberita.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa penembak Malaysia dapat memenangi pingat emas dalam acara-acara seterusnya.

Sementara itu Eddy Chew gagal memenangi pingat dalam acara 10 meter air pistol individu lelaki.

Eddy membidik 154.0 mata untuk menamatkan cabaran di tempat keempat.

Pingat emas dimenangi Daniel Repacholi dari Australia yang membidik 199.5 mata manakala Prakash Nanjappa dari India memenangi pingat perak dengan 198.2 mata.

Seorang lagi penembak Malaysia Jonathan Wong hanya mampu mengutip 94.3 mata sahaja dan terpaksa berpuas hati dengan tempat ketujuh. — Bernama

Advertisement