Anda di sini

Mohd Hafifi kebanggaan Malaysia

Advertisement

Meraih pingat emas pertama buat negara dalam acara angkat berat

GLASGOW, Scotland: Mohd Hafifi Mansor memenangi pingat emas pertama buat Malaysia di Sukan Komanwel ke-20 dalam kategori 69 kg angkat berat lelaki Sabtu lepas (waktu Scotland).

Mohd Hafifi, 24, mengangkat berat keseluruhan 305 kg – 135 kg dalam acara ‘snatch’ dan 170 kg dalam acara ‘clean and jerk’ pada peringkat akhir di Scottish Exhibition and Conference Centre Precint di sini.

Pingat perak dimenangi Yinka Ayenuwa dari Nigeria yang mengangkat berat keseluruhan 302 kg manakala Omkar Otari dari India terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dengan angkatan 296 kg.

Seorang lagi atlet angkat berat negara Mohammad Huzairi Ramli menamatkan saingan di tempat kelima dengan angkatan keseluruhan 290 kg.

Mohd Hafifi berkata kemenangannya adalah berkat kesabaran dan tunjuk ajar daripada jurulatihnya yang tidak mahu beliau terlibat dalam perang psikologi dengan atlet-atlet lain yang memberikan cabaran.

“Pada mulanya saya rasa tercabar apabila atlet Nigeria cuba mengangkat berat 176 kg dalam acara ‘clean and jerk’. Saya mahu melakukan angkatan lebih berat tetapi jurulatih saya menghalang saya berbuat demikian.

“Ini ialah kerana beliau tahu ia hanya satu cubaan dalam perang psikologi dan beliau menyuruh saya bersabar. Hasilnya ialah pingat emas menjadi milik kita,” katanya kepada pemberita kemudian.

Mohd Hafifi turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin serta peminat di atas sokongan mereka menerusi Facebook, Twitter dan Instagram.

“Saya mengabadikan pingat emas ini kepada ibu saya (Norizam Embong) di kampung di Kuala Terengganu. Setiap kali saya membuat angkatan, saya akan menyebut namanya. Terima kasih ibu kerana sentiasa menyokong dan mendoakan saya,” katanya.

Beliau menambah beliau merancang untuk membantu keluarganya dengan insentif sebanyak RM80,000 yang akan diterimanya kerana memenangi pingat emas.

“Saya mahu menggunakan wang itu untuk membantu ibu saya membeli sebuah rumah di Kuala Terengganu,” katanya. — Bernama

Advertisement