Anda di sini

Masjid Bandar Kuching akan dibina semula dengan reka bentuk unik

Advertisement

KUCHING: Penduduk bandar raya Kuching yang beragama Islam bakal menunaikan solat di Masjid Bandar Kuching yang akan dibina semula dengan reka bentuk unik pemandangan indah di atas air di Tebingan Kuching.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman yang mendedahkan perkara itu kelmarin percaya pembinaan masjid baharu adalah lebih baik berbanding melakukan kerja membaik pulih secara kerap ke atas bangunan masjid sedia ada.

“Cadangan pembinaan semula Masjid Bandar Kuching, Jalan Gambier sudah dipelankan dengan sebahagian daripada tapak bangunan masjid terletak di atas tanah tebingan dan sebahagian lagi di dalam air sungai supaya ia nampak cantik.

“Jadi ini akan menggantikan masjid ini seperti yang kita nampak, untuk dibaik pulih juga susah, kalau hendak diroboh juga susah kerana struktur yang dekat-dekat dengan deretan kedai yang lain, jadi kita bersetuju untuk membuat yang baharu di tempat lain.

“Lagipun, tempat ini adalah peninggalan warisan maka ia tidak boleh diubah suai secara berlebihan,” katanya selepas merasmikan Program Membantu Rakyat (MEMBARA) Parlimen Bandar Kuching dan JASA Sarawak di sini kelmarin.

Bagaimanapun menurut Daud lagi, projek berkenaan menelan belanja antara RM8 juta hingga RM10 juta dan akan bermula pembinaannya September akan datang dan dijangka siap dalam tempoh 20 bulan.

Menurut kenyataannya juga, pemilihan tender telah dibuka sehingga bulan Ogos dan pelan reka bentuk telah dilakukan oleh Konsultan SOM.

Namun pengeluaran tender kepada kontraktor masih lagi dijalankan setakat ini.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur berkata tapak bangunan lama masjid itu bagaimanapun akan dikekalkan sebagai warisan dan akan dibaik pulih sedikit demi sedikit.

Bangunan masjid yang dibina pada 1834 itu sebahagian daripadanya akan digunakan sebagai madrasah dan selebihnya akan dicantikkan untuk menjadi pusat perniagaan.

Pihaknya juga sedang dalam perancangan untuk meminta peruntukan daripada kerajaan negeri dan persekutuan kerana setakat ini pihaknya hanya menerima sumbangan daripada individu dan badan korporat.

Masjid Bandar Kuching yang baharu itu nanti mampu menampung sejumlah 1,200 jemaah pada satu-satu masa.

Advertisement