Anda di sini

Lawan perompak

Advertisement

Lelaki beranikan diri bergelut dengan tiga lelaki pertahankan beg sandangnya daripada dilarikan.

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Seorang lelaki memberanikan diri bergelut dengan tiga lelaki gara-gara cuba mempertahankan beg sandangnya daripada dilarikan di Pusat Penjaja Hui Sing, di sini, semalam.

Insiden sekitar jam 10 pagi itu dikatakan berlaku di tempat letak kereta, apabila mangsa yang berusia 26 tahun itu hendak memasuki kereta namun didatangi tiga lelaki bermotosikal yang memintanya menyerahkan beg sandang tersebut.

Apabila mangsa enggan berbuat demikian, lelaki-lelaki tersebut cuba menyerangnya menggunakan kayu, sebelum mengeluarkan senjata tajam.

“Saya pun melawan balik apabila melihat mereka membawa kayu, tanpa menyedari mereka turut bersenjatakan pisau,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, semalam.

Akibat pergelutan itu, mangsa yang berasal dari Johor Baharu mengalami kesan luka dan lebam di lengan, belakang dan kaki.

Perompak-perompak itu kemudian melarikan diri bersama beg sandang mangsa dengan menaiki dua motosikal apabila mangsa tidak berdaya lagi lalu rebah.

Mangsa kemudian mendapatkan bantuan daripada ibu mentuanya untuk membuat laporan polis di One Stop Centre, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di Jalan Simpang Tiga sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HU S).

Susulan laporan polis berkenaan, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah bersama pegawai penyiasat membuat pemeriksaan ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan.

Siasatan masih dijalankan.

 

Advertisement