Anda di sini

Ekstremis agama, rasis tidak dibenar memasuki Sarawak

Advertisement

Adenan

Adenan mengulangi pendiriannya tidak akan benarkan ektremis agama, mereka yang rasis memasuki negeri ini

Oleh Patricia Gari //

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata Sarawak tidak akan membenarkan ekstremis agama dan golongan rasis memasuki negeri ini.

“Saya mengulangi pendirian bahawa negeri Sarawak tidak akan membenarkan ektremis agama dan mereka yang rasis untuk masuk ke negeri ini.

“Saya tidak akan membenarkan elemen-elemen ini mengganggu keharmonian agama dan sosial di negeri ini,” tegas beliau dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri semalam.

Tambah Adenan, umat Islam hendaklah terus menunjukkan mereka sentiasa berpegang kepada kesederhanaan atau wasatiyyah dalam setiap aspek kehidupan dan pandangan.

Konsep wasatiyyah menurut beliau adalah jalan ke arah masa depan yang lebih cerah kepada umat Islam di negeri ini dan pe-nganut-penganut agama lain.

Sarawak ujarnya, mampu mengekalkan keharmonian agama dan sosialnya kerana rakyatnya mempunyai rasa hormat yang mendalam terhadap rakan-rakan tidak se-agama dan sebangsa.

“Ini perlu diperkukuhkan dengan sikap kesederhanaan anak-anak Sarawak dalam pelbagai aspek kehidupan ha-rian mereka.

“Kisah-kisah peperangan dan bunuh-membunuh antara sesama agama dan sebangsa di negara-negara luar yang terpampang di kaca TV dan surat khabar menginsafkan kita betapa bernasib baiknya kita di Bumi Kenyalang ini,” tegasnya.

Tambahnya lagi semangat perpaduan antara rakyat pelbagai agama dan keturunan yang telah dibina bersama di negeri ini merupakan kebanggaan setiap rakyatnya.

“Tidak dinafikan kita mempunyai perbezaan pendapat dan pandangan tetapi itu tidak bermakna kita tidak mampu mencapai kesepakatan.

“Dalam konteks ini perkataan ‘toleran’ tidak mencukupi merujuk kepada hubungan antara rakyat di Sarawak.

“Toleran membawa maksud masih terdapat elemen ‘terpaksa’… kita bukan setakat toleran terhadap orang berbeza dengan kita tetapi seharusnya menghormati perbezaan mereka dengan kita dari segi pegangan agama, budaya dan latar belakang keturunan,” ujarnya.

Sementara itu, katanya dari segi ekonomi kerajaan akan terus memberi perhatian kepada usaha mengurangkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar, juga antara yang berada dengan kurang berada.

Sarawak tambahnya, mempunyai banyak sumber asli yang telah dibangunkan secara tersusun untuk me-ningkatkan status ekonomi dan taraf hidup rakyat.

Bagaimanapun ujarnya, persoalan yang harus dititikberatkan ialah kaedah dan cara pembahagian kekayaan yang akan merapatkan jurang-jurang itu supaya taraf hidup semua rakyat sama ada di bandar atau luar bandar mampu dipertingkatkan dengan lebih adil dan saksama.

Advertisement