Anda di sini

Ancaman DAP Sarawak bukti PKR, PAS semakin tidak relevan

Advertisement

KUCHING: Tindakan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak mengancam mahu keluar Pakatan Rakyat (PR) Sarawak dilihat ‘mesej tidak langsung’ daripada parti itu kepada rakan-rakan pakatan iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang semakin tidak relevan.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol (gambar), berkata mungkin juga DAP Sarawak mahu menyampaikan mesej bahawa PKR dan PAS adalah beban yang boleh diketepikan dalam agenda politik mereka.

Menurutnya selama ini dasar gabungan PR ialah demi kepentingan politik dan ia falsafah politik yang rapuh.

“Saya tidak terkejut sama sekali melihat keadaan seperti ini berlaku dalam Pakatan Rakyat Sarawak atau mungkin tidak lama lagi di Semenanjung Malaysia.

“Sekarang hanya masa sahaja yang menentukan bila gelembung pakatan politik itu akan meletup,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar semalam menyatakan bahawa DAP Sarawak mengancam meninggalkan PR Sarawak jika PAS gagal menetapkan pendiriannya mengenai pelaksanaan hukum hudud di negeri ini.

“Saya percaya DAP Sarawak tidak mengambil tindakan seperti itu tanpa ‘restu’ daripada tuan-tuan mereka di Semenanjung Malaysia.

“Secara peribadi saya mengakui, walaupun mempamerkan sifat populis yang konsisten, DAP lebih fokus kepada kempen politik mereka berbanding PKR dan PAS yang kelihatan masih sesat dalam belantara politik mereka sendiri,” tambah Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop.

Beliau juga percaya Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah menjangkakan perkara itu namun ia sama sekali tidak akan membuat BN bersikap sambil lewa.

“Nasihat Ketua Menteri kepada semua kita dalam BN Sarawak adalah jelas dan lantang.

“Semua ADUN BN mesti mengukuhkan kedudukan mereka di kawasan pengundi masing-masing.

“Lakukan lawatan dengan kerap ke kawasan masing-masing dan pastikan semua isu ditangani sewajarnya,” kata Abdullah.

Selain itu katanya, ADUN BN Negeri harus bekerja keras dan menyelaras kerja dengan agensi-agensi kerajaan yang relevan bagi memastikan projek berimpak tinggi tidak tertangguh.

Tambahnya BN Sarawak membuat permohonan serius kepada kerajaan persekutuan untuk mendapatkan lebih banyak dana pembangunan dan ia bukan sekadar retorik sahaja.

Ketua Menteri juga katanya, mahu semua BN Sarawak memberi tumpuan serius kepada hasrat rakyat supaya lebih banyak pembangunan khususnya di kawasan luar bandar dapat dilaksanakan.

“Ketua Menteri juga mahu kita dalam BN menunjukkan keberanian dan semangat yang lebih tinggi untuk memenuhi keperluan rakyat telah memilih untuk mengundi kita,” ujarnya.

Advertisement