Anda di sini

Poh San gagal raih gangsa

Advertisement

Gimnas dari Wales Halford memintas dengan 0.32 mata

GLASGOW, Scotland: Gimnas berirama kebangsaan Wong Poh San gagal tipis untuk memenangi pingat gangsa individu keseluruhan.

Laura Halford dari Wales memintasnya dengan kelebihan 0.32 mata sahaja untuk memenangi pingat gangsa dengan keseluruhan 56.225 mata manakala Poh San berupaya untuk mengumpul 55.875 mata.

“Saya rasa sangat sedih. Saya tidak melakukan rutin ‘clubs’ dengan baik. Saya tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana itulah keputusannya. Saya perlu berusaha dengan lebih gigih lagi dalam acara ‘apparatus’ individu esok.

“Saya berharap untuk memenangi pingat dalam acara-acara hoop, clubs dan ribbon,” kata gimnas berusia 17 tahun dari Johor itu kepada Bernama.

Seorang lagi gimnas Malaysia Amy Kwan menduduki tempat keenam keseluruhan dengan 53.475 mata.

“Saya amat kecewa dengan apa yang saya buat pada hari ini. Saya tidak pernah membuat kesilapan seperti ini dalam latihan.

“Sudah tentulah saya mesti melakukan yang terbaik dalam apparatus individu esok. Saya mahu menebus semua kesilapan saya,” kata Amy.

Esok Amy akan bertanding dalam keempat-empat apparatus individu – hoop, bola, clubs dan ribbon.

Pertandingan yang diadakan di SSE Hydro pada Jumaat lepas menyaksikan Patricia Bezzoubenko dari Kanada memenangi pingat emas selepas mencatatkan 59.175 mata manakala seorang lagi gimnas Wales, Francesca Jones mengutip pingat perak dengan 57.350 mata. — Bernama

Advertisement