Anda di sini

Mohd Zelhelmi raih pingat pertama Malaysia

Advertisement

GLASGOW: Atlet angkat berat Mohd Zulhelmi Pisol membuat kejutan apabila muncul sebagai penyumbang pingat pertama buat kontinjen negara pada temasya Sukan Komanwel kali ke-20 di sini, Khamis.

Atlet pelapis berusia 21 tahun itu meraih pingat perak bagi kategori 56kg dengan jumlah angkatan 245kg di Scottish Exhibition and Conference Centre Precint di sini.

Atlet berasal dari Pulau Pinang itu membuat angkatan snatch 108kg dan clean and jerk seberat 137kg. Dua atlet dari India Sukhen Dey dan Ganesh Mali, masing-masing meraih pingat emas dan gangsa.

Sukhen melakukan angkatan seberat 248kg yang melibatkan snatch 109kg dan clean and jerk 139kg manakala Ganesh pula 244kg dengan angkatan snatch 111kg dan clean and jerk 133kg.

Mohd Zulhelmi ketika ditemui berkata beliau sangat teruja selepas berjaya meraih pingat pada penampilan pertamanya di Sukan Komanwel.

“Saya masih baharu dalam kejohanan besar seperti ini, jadi memang sudah menjangkakan saingan sengit daripada atlet-atlet senior di sini.

“Namun saya masih tidak berpuas hati dengan angkatan clean and jerk sebab saya pernah melakukan angkatan seberat 140kg ketika berlatih,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata beliau memuji semangat dan kesungguhan atlet muda seperti Mohd Zulhelmi yang tidak mudah putus asa untuk bersaing dengan barisan atlet berpengalaman pada kejohanan berprestij itu.

“Pada awal angkatannya Mohd Zulhelmi ketinggalan, namun saya puji beliau bersemangat untuk bangkit dan meraih pingat buat negara, saya juga percaya atlet angkat berat yang lain mampu menyumbang pingat emas dalam saingan seterusnya nanti,” kata Khairy. – BERNAMA

Advertisement