
Diego Costa
Costa hanya perlu mengekalkan cara permainannya di Chelsea sepertimana yang dilakukan di Atletico Madrid
LONDON, England: Penyerang baharu Chelsea Diego Costa pada Rabu lepas berkata pengurus Jose Mourinho telah memberitahunya, pasukan itu akan bermain menurut kekuatannya pada musim depan.
“Salah satu perkara yang beliau sebut ialah beliau tidak mahu saya berubah,” kata penyerang Sepanyol kelahiran Brazil itu kepada saluran televisyen kelab, Chelsea TV.
“Ia adalah keputusan Jose dan kelab untuk membeli saya dan mereka menandatangani saya kerana cara saya bermain di Atletico (Madrid).
“Saya rasa saya tidak perlu banyak berubah. Saya hanya perlu memperbaiki perkara-perkara kecil untuk menjadi seorang pemain yang lebih bagus. Saya harap saya akan menikmati musim yang serupa dengan musim lepas.”
Costa, 25, menjaringkan 36 gol pada musim lepas untuk memberi inspi rasi kepada Atletico bagi memenangi kejuaraan La Liga pertama kelab dalam tempoh 18 tahun – selain tempat dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara – dan membawa jumlah golnya di kelab tersebut kepada 64 dalam 134 penampilan.
Ia meyakinkan Chelsea untuk membayar kira-kira 32 juta pound (RM160 juta) bagi mendapatkan khidmatnya dan Costa yakin beliau dapat menangani beban jangkaan.
“Saya ingin menyatakan kepada penyokong bahawa mereka perlu yakin saya secara peribadi akan berjuang demi kelab ini bagi memastikan kami berpeluang untuk memenangi sebanyak mungkin piala,” katanya.
“Saya sebahagian daripada kumpulan pemain yang hebat di sini dan kami akan melakukan segala yang termampu untuk memberikan kepada penyokong apa yang mereka inginkan, iaitu kejuaraan.”
Kehandalan Costa di ibu negara Sepanyol menjadikannya salah seorang penyerang yang paling diidamkan di Eropah, tetapi walaupun beliau tidak kekurangan lamaran, beliau berkata menyertai Chelsea adalah satu pilihan yang jelas dan mudah.
“Ia adalah satu keputusan yang mudah untuk saya buat,” katanya.
“Kami memiliki beberapa pemain terbaik di dunia, pengurus terbaik di dunia, dan ia adalah sebuah kelab dengan sejarah yang hebat.
“Saya mahu meningkat, bukan hanya sebagai seorang pemain tetapi sebagai seorang individu, dan saya percaya ini adalah tempat yang sempurna bagi saya untuk berbuat demikian. Itulah sebabnya kenapa saya memilih Chelsea dan kenapa saya mahu mempertahankan jersi ini.” — AFP