Anda di sini

Kempen keselamatan jalan raya beri kesan positif: JKJR

Advertisement

Indeks kematian akibat kemalangan jalan raya menurun

ARAU: Kempen-kempen keselamatan jalan raya yang dilaksanakan pelbagai pihak memberi kesan positif dalam menurunkan jumlah kemalangan jalan raya.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Dr Tam Weng Wah  berkata indeks kematian akibat kemalangan jalan raya bagi setiap 10,000 kenderaan tahun lepas menurun kepada 2.9 orang daripada 4.51 orang sebelum itu.

Berikutan pencapaian positif itu, JKJR berhasrat menurunkan bilangan kematian kepada dua orang bagi setiap 10,000 kenderaan pada tahun ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan Aidilfitri oleh Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man di KM28.6 Lebuh Raya Persekutuan Kuala Perlis-Changlun, dekat sini, semalam.

Bagaimanapun, Tam berkata 60 peratus dari jumlah kematian sebanyak 6,915 orang akibat kemalangan jalan raya sepanjang tahun lepas adalah penunggang motosikal.

Beliau berkata antara punca kemalangan membabitkan motosikal disebabkan penunggangnya tidak memakai topi keledar, menunggang dengan cara berbahaya dan berpakaian gelap.

“Dalam kempen lepas didapati ramai penunggang memakai topi keledar ‘kura-kura’ yang tidak dibenarkan dipakai di jalan raya kerana tidak selamat dan ada kes topi keledar berusia 40 tahun masih dipakai oleh seorang penunggang.

Saya ingin mengingatkan penunggang bahawa memakai topi keledar kura-kura (yang tidak menutupi telinga) boleh disaman,” kata Tam dan menambah mereka juga harus menukar kepada topi keledar baharu setiap lima tahun.

Sementara itu, Azlan berkata walaupun di Perlis tiada kawasan kemalangan maut, namun masih terdapat kawasan yang kerap berlaku kemalangan pada masa-masa tertentu.

“Saya ingin menasihatkan pemandu agar mengutamakan keselamatan apatah lagi pada musim perayaan yang banyak kenderaan di jalan raya. Yang hendak berjalan jauh berdisiplinlah di jalan raya selain berehat secukupnya,” kata Azlan. — Bernama

Advertisement