Oleh Harry Ilias //
KUCHING: Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datu Sudarsono Osman berkata persatuan negeri tidak akan terjejas dengan perlantikan beliau sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pengurus pasukan Harimau Malaya.
Katanya, beliau masih mempunyai tanggungjawab penting untuk membimbing FAS dan pasukan Sarawak sekali pun pada masa yang sama menggalas dua tugas besar dalam badan induk bola sepak negara itu.
“Tidak timbul sebarang persoalan bahawa FAS akan terabai dengan perlantikan saya sebagai Naib Presiden FAM dan pengurus pasukan kebangsaan.
“Sebaliknya saya melihat perlantikan itu akan memberi kelebihan kepada persatuan negeri,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Menurut Sudarsono, FAM merupakan sebuah organisasi yang kukuh dengan barisan kakitangan yang bekerja sepenuh masa bagi melaksanakan program, aktiviti dan hala tuju persatuan yang telah ditetapkan oleh presiden dan EXCO.
“Kita bertanggungjawab terhadap hasil dari setiap program yang telah dilaksanakan. Justeru, amat penting bagi kita memantau setiap pelaksanaan program- program tersebut.
“Bagaimanapun, ia tidak bermakna saya perlu berada di sana (Kuala Lumpur) sepanjang masa,” katanya.
Sudarsono menjelaskan, apa yang dilakukannya ketika ini atas dasar sukarela kerana mahu membantu menaikkan semula mutu bola sepak negara.
“Tugas ini memang mencabar kerana seluruh rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi ke atas skuad kebangsaan.
“Namun saya yakin dapat mengurus masa untuk keluarga, tugas, bola sepak dan komitmen lain dengan baik. Saya juga bersyukur kerana keluarga, rakan dan kakitangan dalam FAS dan FAM banyak membantu dan menyokong saya,” tambahnya.
Mengulas mengenai perlantikan Dollah Salleh sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, Sudarsono berkata beliau adalah salah seorang jurulatih yang berjaya dalam kancah bola sepak negara.
Justeru, beliau berharap Dollah dapat menggunakan kepakaran dan kejayaannya itu menaikkan kualiti bola sepak negara yang memerlukan standard yang lebih tinggi untuk bersaing di arena antarabangsa.
“Saya tidak pernah bekerjasama dengan Dollah sebelum ini namun saya yakin beliau mampu memikul tugas ini dengan baik berdasarkan pelbagai kejayaan yang pernah dikecapinya dulu,” katanya.