Anda di sini

Kad raya konvensional tetap di hati Pemuda PBB Bukit Sari

Advertisement

Oleh Mastura Ismail //

 

SIBUK: Pemuda PBB Bukit Sari sibuk menyusun kad raya mengikut kawasan dan zon.

MESKIPUN orang ramai kini mempunyai pelbagai kaedah untuk menghantar ucapan Hari Raya terutama melalui pelbagai teknologi dan gajet komunikasi, tetapi kad raya secara konvensional tetap menjadi pilihan saban tahun.

Kad raya begitu sinonim dengan masyarakat Islam sejak zaman-berzaman yang mampu menjadi pengikat silaturahim antara mereka.

Malah dengan adanya kad raya, pengirim boleh menulis bait-bait ucapan raya selain boleh disimpan sebagai kenangan dan digantung sebagai hiasan pada Hari Raya.

Menyedari keistimewaan itu, Pergerakan Pemuda PBB Bukit Sari, Lawas turut meneruskan tradisi penyerahan kad raya daripada Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kepada rakyat di konstituensinya setiap kali lebaran menjelma.

Exco Pemuda Negeri PBB Bukit Sari, Abu Baharin Redzuan berkata, penyerahan kad raya itu dilakukan saban tahun melalui Pemuda PBB Bukit Sari sebelum diagihkan kepada setiap cawangan dan ranting dan zon di daerah ini sebelum Syawal menjelang.

TURUN-TEMURUN: Kad raya daripada Awang Tengah untuk diagihkan kepada rakyat di konstituensinya.

Beliau berkata, walaupun orang ramai mempunyai pilihan untuk menghantar ucapan raya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), kad elektronik mahupun rangkaian sosial, terdapat segelintir individu yang lebih selesa mengamalkan cara tradisional dengan menghantar kad raya.

“Penghantaran kad raya ini memang menjadi amalan dan kelaziman kepada rakyat di daerah ini.

“Kad raya ini bukan saja memberi kenangan manis kepada pengirimnya, malah ia dapat mengukuhkan lagi silaturahim dan ukhuwah dalam kalangan masyarakat Islam ketika menyambut Aidilfitri,” katanya di Limbang, baru-baru ini.

Abu Baharin menjelaskan lagi, kad raya ini juga memberi peluang penerimanya  membaca bait-bait ucapan malah kad raya tersebut juga boleh disimpan sebagai kenangan dan hiasan di rumah.

“Mempunyai sentuhan peribadi, kad raya menunjukkan tanda kasih sayang dan keprihatinan pemimpin (Awang Tengah) kepada rakyatnya yang diabadikan melalui kad raya terbabit.

“Malah kad raya ini ia juga mampu memberi nostalgia manis antara rakyat dan pemimpin selain, koleksi kad raya boleh disimpan dalam tempoh yang lama,” tambahnya lagi.

Katanya, dengan membaca kad-kad lama secara automatik ia mampu menyuburkan lagi memori manis antara pengirim dan penerimanya.

Abu Baharin menambah, kad raya daripada pemimpin mereka sudah diserahkan kepada Pemuda PBB di peringkat cawangan, ranting dan zon baru-baru ini.

Beliau memberitahu, walaupun jumlah kepingan kad raya yang dihantar agak banyak, namun ia tidak pernah dijadikan halangan untuk terus menyuburkan tradisi penyerahan kad raya secara tradisional.

“Kami selaku Pemuda PBB sentiasa berasa lapang dada dan penuh semangat untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan ini demi memastikan kad tersebut selamat sampai.

“Saya percaya rakyat seperti kami tentu berasa sangat bangga dan gembira menerima kad-kad raya daripada pemimpin kesayangan kami,” tambahnya lagi.

Katanya, tradisi kad raya masih dipraktikkan oleh pemimpin  mereka yang membawa makna mendalam bagi menterjemahkan rasa dekat di hati pemimpin kepada rakyatnya meskipun keadaan sudah berubah.

Advertisement