Anda di sini

Sarawak kempunan di Jakarta

Advertisement

KUCHING: Sarawak mengikat pasukan Liga Perdana Indonesia, VILLA 2000 dengan 4- 4 pada perlawanan persahabatan pertama di Stadium Markas Tentera Sutasoma, Jakarta pada Ahad lalu.

Kapten pasukan, Joseph Kalang Tie memastikan Sarawak mendahului seawal minit ketiga setelah merembat kencang bola muntah daripada penjaga gol VILLA 2000 hasil percubaan awal Rashid Aya.

VILLA 2000 cuba bangkit memberikan tekanan namun gawang mereka sekali lagi bolos menerusi sepakan lencong menarik Ryan Alan Griffiths dari jarak 30 meter pada minit ke-20 bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Joseph sekali lagi mencetak nama selaku penjaring dengan menanduk kemas bola hantaran silang Ramesh pada minit ke- 34.

Kedudukan kekal 3-0 sehingga berakhir babak pertama.

Sarawak melakukan beberapa pertukaran pada separuh masa kedua dengan membawa masuk Mohd Fadzley Rahim bagi menggantikan Sani Anuar Kamsani sebagai benteng terakhir.

Muhammad Dzulfadli Awang Marajeh (Hairol Mokhtar), Assri Chuchu (Rashid Aya), Dzulazlan Ibrahim (Shahrol Saperi), Mazwandi Zakeria (Ramesh Lai Ban Huat) dan Daglish Papin (Joseph Kalang Tie).

Pasukan tuan rumah berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-48.

Namun, pesta gol pasukan pelawat terus berterusan dengan Ryan sekali lagi menambah koleksi jaringan pada minit ke-68 menjadikan kedudukan 4-1.

Kegembiraan Sarawak hanya bertahan tiga minit apabila giliran VILLA 2000 bagaikan ‘singa lapar’ meledakkan dua gol menjadikan kedudukan 4-3.

VILLA 2000 memastikan Sarawak kempunan meraih kemenangan pertama apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-88 menjadikan keputusan 4-4 sehingga tamat masa perlawanan.

Sarawak akan meneruskan siri jelajah mereka dengan menentang Persebaya Surabaya di Stadium Jatidiri hari ini.

Advertisement