Anda di sini

Sambir Bistari enggan pandang rendah keupayaan Team Kickalob

Advertisement

BERSEMANGAT: Pasukan Sambir Bistari bersemangat meraikan kejayaan menjuarai Liga Samarahan 2014 bersama Jalek (tengah) di Kota Samarahan bulan lalu.

KUCHING: Juara Liga Samarahan 2014 Sambir Bistari enggan memandang rendah keupayaan Team Kickalob K2015 pada pertemuan separuh akhir mereka yang akan berlangsung di Stadium Mini Samarahan pada 17 Ogos depan (Ahad).

Ketua Jurulatih, Jalek Japar berkata sekalipun mereka pernah menewaskan pasukan sama pada bulan lalu sekali gus menyaksikan mereka menjuarai KLiga Samarahan, namun tidak bermakna mereka boleh terlalu yakin untuk memenangi perlawanan tersebut.

“Kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan yang seimbang dan saya pasti Team Kickalob tidak akan memberi laluan mudah kepada kami,” katanya di sini semalam.

“Justeru, saya mahu semua pemain meningkatkan prestasi masing-masing dan mengekalkan corak permainan seperti yang ditampilkan sebelum ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, Jalek tetap yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya untuk memenangi perlawanan itu bagi melayakkan mereka ke perlawanan akhir nanti.

Menurutnya, kejayaan menjuarai Liga Samarahan 2014 semakin menyemarakkan semangat para pemainnya untuk memburu kemenangan.

“Semua pemain berada dalam ‘mood’ terbaik dan ini petanda baik untuk kami merangkul satu lagi kejuaraan besar pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, satu lagi saingan separuh akhir menyaksikan pertemuan antara Ocean Eagle FC Samarahan menentang Yayasan Sarawak – Sanjung Etika pada 16 Ogos (Sabtu) di Stadium Mini Samarahan.

Kedua-dua perlawanan bermula jam 3 petang.

Tarikh dan venue perlawanan akhir belum ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS).

 

Advertisement