Anda di sini

PDRM sentiasa berusaha suburkan persefahaman dengan orang awam

Advertisement

Oleh Michael Ubam

BERGAYA: Sebahagian daripada para hadirin menunggu ketibaan tetamu kehormat.

MAJLIS Ngiling Bidai yang bertemakan ‘Community Policing – PDRM Bersama-sama Ketua Masyarakat/Tuai Rumah Panjang’ yang dianjurkan di Dewan Balai Polis Sibu Jaya dekat Sibu Jaya baru-baru ini disambut meriah dan berjaya mencapai matlamatnya.

Program penutupan perayaan Hari Gawai 2014 itu bertujuan untuk menyuburkan rasa saling memahami dan kerjasama antara orang awam dengan pasukan polis dalam usaha mencegah jenayah dan mengurangkan indeks jenayah di daerah Sibu Jaya.

Dalam teks ucapannya, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi berkata, perjumpaan terus dengan penduduk dari rumah panjang melalui program berkenaan adalah lebih berkesan.

Ini kerana, mereka akan memperolehi penerangan dan penjelasan yang lebih terperinci mengenai masalah yang dihadapi mereka selain memberi nasihat mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan mereka daripada terus menjadi mangsa jenayah.

Mohd Kamal berharap orang awam akan memberi kerjasama padu dan komitmen kepada pihak polis untuk merealisasikan matlamat utama iaitu memastikan tahap keselamatan rakyat sentiasa terjamin.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan) SAC Datuk Fatimah Ghazali, Timbalan Ketua Polis Daerah P/Supt Martin Koo, Ketua Balai Sibu Jaya Inspektor Khusairy Bujang, Kaunselor Pasang Ngalambai serta ketua-ketua masyarakat dan tuai rumah panjang di kawasan yang berdekatan.

Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan pada majlis tersebut termasuk pertandingan karaoke dan cabutan bertuah.

Pada akhir majlis, Mohd Kamal meminta orang ramai agar sentiasa memberi kerjasama dengan pihak polis terutama dari segi menyalurkan sebarang maklumat.