Anda di sini

Kemenangan manis

Advertisement

Rosberg menang di tanah airnya pada GP Jerman

HOCKENHEIM, Jerman: Pendahulu keseluruhan kategori pemandu, Nico Rosberg, melengkapkan dua minggu paling menggembirakan dalam hidupnya apabila memenangi perlumbaan Grand Prix Jerman Ahad lepas.

Pada hari kegembiraan di tanahairnya, Rosberg mencipta kemenangan bergaya untuk pasukan Mercedes, sekali gus menjarakkan kedudukannya berbanding rakan sepasukan, Lewis Hamilton kepada 14 mata dalam saingan kejuaraan dunia.

“Ia sangat hebat,” kata Rosberg.

“Ia satu perasaan luar biasa untuk mencapai kemenangan di tempat sendiri. Ia adalah hari yang sangat istimewa. Hujung minggu ini dengan petak pertama dan juga kemenangan adalah hebat sekali.

“Saya tidak menjangkakan satu jurang yang sangat besar pada perlumbaan ini.”

Rosberg menambah bahawa beliau hanya bimbang satu perkara semasa memandu tanpa dicabar, iaitu apabila kereta Adrian Sutil dari pasukan Force India berputar dan berhenti di tengah litar di jalan lurus, di mana kemalangan itu mengancam kemunculan Kereta Keselamatan dan kehilangan jurang yang besar di hadapan perlumbaan.

“Saya sememangnya sedikit bimbang apabila melihat kereta Sutil kerana saya memikirkan Kereta Keselamatan akan masuk,” kata beliau.

“Ia pastinya akan menyukarkan perlumbaan saya tetapi ia satu penamat yang hebat untuk saya.”

Ia adalah kemenangan selesa buat pelumba berusia 29 tahun itu, anak kepada juara 1982, Keke Rosberg, yang tiba di garisan penamat dengan kelebihan 20.7 saat di hadapan Valtteri Bottas dari pasukan Williams pada akhir 67 pusingan.

Kejayaan Bottas juga podium ke-300 Williams dalam Formula Satu (F1) dan mengesahkan pemulihan mereka dari satu tempoh kemarau kejayaan dan kembali sebagai pasukan pesaing sekali lagi.

Mereka antara tujuh pasukan yang dibekalkan dengan jentera Mercedes dalam senarai 10 pasukan teratas.

Hamilton menduduki di tempat ketiga dengan 1.8 saat di belakang Bottas, di hadapan juara bertahan, Sebastian Vettel dari Red Bull, juara dua kali, Fernando Alonso dari Ferrari dan Daniel Ricciardo, pemandu kedua Red Bull.

Kemenangan Rosberg, juga podium pertama perlumbaan di tanahairnya sendiri, hadir seminggu selepas berkahwin dengan teman wanitanya sejak sekian lama, Vivian Sibold, menandatangani kontrak baharu bersama Mercedes dan meraikan kejayaan pasukan bola sepak Jerman yang memenangi Piala Dunia 2014.

Ia adalah kemenangan keempat beliau musim ini dan yang ketujuh dalam kerjayanya tetapi kejayaan beliau itu sedikit dicemari perlumbaan penuh kemalangan yang berpunca dari tindakan berani Hamilton, yang bermula di petak ke-20, memotong pelumba lain.

Beliau melakukan beberapa aksi berani memintas ramai pemandu lain tetapi gagal memintas Bottas untuk tangga kedua perlumbaan.

“Saya benar-benar gembira untuk berada di atas podium untuk kali ketiga berturut-turut,” kata Bottas, yang menduduki tempat ketiga di Austria dan di tempat kedua di Silverstone dari tiga perlumbaan terakhir. — AFP

Advertisement