Anda di sini

Kembara agenda komunikasi DTP

Advertisement

Oleh Saleman Senin//

GEMBLENG MINDA: Sebahagian daripada para peserta yang menjayakan program di Betong, baru-baru ini.

SEJAK akhir-akhir ini, sistem pendidikan negara telah menjadi perkara yang semakin menarik perhatian dan menjadi perbahasan orang ramai.

Ibu bapa meletakkan harapan tinggi dan majikan menyuarakan kebimbangan akan keupayaan sistem pendidikan melengkapkan generasi muda dengan persediaan secukupnya bagi menghadapi cabaran abad ke-21.

Menyedari hakikat bahawa bahawa sistem pendidikan adalah kompleks dan rencam, tempoh yang panjang diperlukan untuk melihat impak transformasi yang dilaksanakan.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil tindakan yang berani dan pantas kerana perubahan yang dihasratkan adalah penting dan mesti dilaksanakan dengan segera.

Pegawai Pendidikan Daerah Betong Sapawi Mahdi menegaskan bahawa semua guru-guru merupakan pemainpemain yang harus menyumbangkan keringat untuk memastikan kejayaan dalam melonjakkan Daerah Betong seiring dengan sistem yang diwujudkan.

“Para guru merupakan tonggak utama dalam memastikan hasrat KPM dapat dilaksana.

“Kita tidak hanya sebagai pemerhati malah menjadi barisan hadapan yang menyumbang kepada dasar yang diwujudkan,” katanya semasa menyampaikan amanat kepada para pendidik di Daerah Betong dalam majlis Kembara Agenda Komunikasi, Program Transformasi Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong di Dewan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan Betong dekat Betong, baru-baru ini.

Katanya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013- 2025 melakarkan visi sistem pendidikan dan aspirasi murid yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan.

Pelan ini juga mengartikulasikan lima aspirasi sistem dan mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh KPM bagi mencapai visi yang dihasratkan.

“Pendidikan memainkan peranan utama bagi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sesebuah negara. Oleh itu, proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam bilik darjah merupakan petunjuk terbaik bagi kemajuan masa depan sesebuah negara.

“Dalam ekonomi global masa ini, kejayaan sesebuah negara amat bergantung pada ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang dimiliki rakyat.

“Maka tidak hairanlah sekiranya negara yang mempunyai rakyat berpendidikan tinggi akan berpeluang menikmati kemajuan ekonomi yang lebih tinggi,” ujarnya.

“Selain itu, pendidikan juga menjadi asas pembinaan negara bangsa dan pengukuhan perpaduan dan turut menyediakan peluang kepada individu untuk meningkatkan taraf hidup, menjadi ahli masyarakat yang berjaya dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara,” jelasnya.

“Kita harus menyampaikan hasrat KPM ini secara terus kepada semua warga pendidik agar dapat melaksanakan tanggungjawab yang begitu besar yang dipikul bersama. Program ini dibahagikan kepada empat zon dan dilaksanakan secara jerayawara bermula daripada zon Betong.

“Digerakkan bermula penghujung Jun dan berakhir penghujung Julai, ia harus disampaikan kepada semua warga pendidik sebagai pelaksana dan penentu kejayaan sistem pendidikan daerah Betong,” katanya.

Terdahulu, seramai 434 guru-guru zon Betong yang merangkumi guru sekolah menengah dan rendah telah menghadiri program tersebut yang disampaikan PPD Betong Sapawi Mahdi serta penerangan peranan SIPartners oleh pegawai Abdul Rahman Muhyiddin dan SISC+ oleh pegawai Lim Heng Mui.

Advertisement