Anda di sini

Najib, Rosmah luangkan dua jam bertemu waris nahas MH17

Advertisement

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini  meluangkan masa kira-kira dua jam bertemu waris penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine.

Pertemuan dalam bilik taklimat di sebuah hotel di sini diselubungi suasana sayu dan menyentuh perasaan apabila beberapa waris tidak dapat menahan kesedihan dan menangis ketika bertemu pemimpin negara itu.

Najib dan Rosmah dilihat menemui waris setiap 24 keluarga yang ada di situ secara peribadi dan memberi perhatian penuh ketika mendengar kisah mereka.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pertahanan  Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi, Timbalan Menteri Komunikasi dan  Multimedia Datuk Jailani Johari dan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam sidang berita kemudian, Perdana Menteri menyifatkan pertemuan itu sebagai ‘membawa dimensi kemanusiaan yang  menyentuh perasaan’.

“Bila saya jumpa dengan ahli keluarga, baru kita dapat perspektif dari sudut individu, dari sudut yang melibatkan unit  keluarga dan ini membawa satu perspektif yang mana kita dapat melihat secara dekat pada peringkat individu.

“Jadi, ada yang menyentuh perasaan dan emosi saya bila saya jumpa ahli keluarga dan mendengar cerita mereka, betapa sedih  pilu perasaan mereka,” katanya.

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal,  adalah dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum terhempas di Ukraine, berhampiran dengan sempadan Rusia, pada Khamis lepas.

Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) Khamis dan dijadual tiba di  Kuala Lumpur pada jam 6.10 pagi (waktu Malaysia) pada Jumaat.  — Bernama

Advertisement