Anda di sini

Malaysia akan pastikan kotak hitam tidak diambil pihak tidak berkenaan

Advertisement

 

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia sebagai pemilik kapal terbang Malaysia Airlines MH17 yang terhempas di Ukraine akan memastikan bahawa kotak hitamnya tidak dikuasai pihak yang tidak ada kena-mengena dengan insiden itu.

Mengikut peraturan antara­bangsa, pemilik pesawat ber­hak ke atas kotak hitam itu, katanya.

“Kotak hitam itu mesti ikut pada undang-undang antara­bangsa dan mereka yang tidak berhak, tidak boleh mengua­sai dan mengambil alih kotak hitam itu,” katanya kepada media selepas meluangkan masa bertemu dengan kelu­arga mangsa nahas pesawat MH17 di sini semalam.

Turut bersama bertemu secara peribadi dengan ke­luarga tersebut ialah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor.

Melahirkan rasa sedih bagi pihak kerajaan di atas tragedi itu, Perdana Menteri menya­takan komitmen kerajaan akan melakukan yang terbaik terutama untuk membawa balik mangsa-mangsa tragedi terbabit.

“Sehubungan dengan ini pasukan kita telah pun sampai di Kiev, dan kita sedang men­gatur supaya kita dapat masuk ke kawasan kejadian, kawasan ini lebih kurang 400km jauh, jadi ada beberapa kaedah yang kita tentukan sebelum mereka boleh masuk ke kawasan tersebut,” katanya.

Najib berkata, difahamkan pihak pemberontak bersetuju untuk mewujudkan koridor yang selamat kepada pasu­kan ‘recovery’ dan pasukan penyiasat.

“Saya harap mereka akan menunaikan apa yang telah mereka nyatakan sebab ini merupakan satu kejadian yang bersifat amat serius dan begitu ramai yang ter­libat dalam kejadian ini dan mereka perlu menunjukkan rasa simpati dan nilai ke­manusiaan yang sepatutnya ditunjukkan kepada Malaysia dan negara-negara lain sebab mereka semua ini tidak ber­dosa sama sekali,” kata Najib. — Bernama

Advertisement