Anda di sini

705 penduduk terima bantuan banjir di Marudi

Advertisement

Oleh W. Bolly Ongie //

RINGAN BEBAN: Para penerima bantuan bergambar bersama Dennis Ngau, Anyi Ngau serta Shahidan (tengah), Entri dan yang lainnya pada majlis tersebut.

SERAMAI 705 orang penerima daripada 42 buah kampung dan rumah panjang dari kawasan Zon Peking, Baram Hilir, dari Rumah Michael Mumdam hingga ke Rumah Chabop di Lubok Amam dan juga ada dari Kampung Benawa, Long Maro hingga Long Panai, menerima bantuan banjir daripada kerajaan.

Majlis penyampaian bantuan berupa wang tunai berjumlah RM500 bagi setiap keluarga itu, diserahkan kepada wakil keluarga penerima yang layak, pada majlis ‘Penyerahan Wang Bantuan Ihsan Bagi Mangsa Banjir Daerah Marudi Fasa 2’ yang diadakan di Dewan Suarah Baram, baru-baru ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang mengadakan lawatan rasmi selama sehari ke Marudi 10 Julai lalu.

Pada majlis tersebut Shahidan memberitahu pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN) berjanji akan menyelesaikan masalah mengenai pemberian bantuan itu (bagi kawasan dilanda banjir dan belum menerima bantuan), selepas perayaan Hari Raya ini kelak.

“Walaupun bantuannya agak kecil tetapi ertinya amat besar dan kerajaan akan berusaha dari semua sudut sebagai maklumat untuk memastikan bantuan tersebut dilaksanakan, selepas dibawa kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan seterusnya,” jelas beliau.

UNTUKMU: Entri (kiri) menyampaikan cenderamata kenangan kepada Shahidan (dua kiri) sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain.

Dalam pada itu, beliau berjanji akan turun padang sambil memantau suasana untuk melihat sendiri kawasan-kawasan cetek dan yang akan diberi bantuan sewajarnya.

Sementara itu, dalam ucapannya juga, Shahidan memberitahu rakyat di negeri ini perlu memberi sokongan dan mempertahankan kerajaan BN yang sedia ada jika mereka mahu terus dibela dari segi kebajikan dan kehidupan yang lebih makmur.

Justeru pada masa yang sama rakyat juga perlu memilih pemimpin yang rajin dan sentiasa bersedia membantu rakyatnya, tambahnya.

“Tetapi harus diingat juga, supaya jangan terpengaruh dengan dakyah pemimpin pembangkang, kerana kalau kita tersilap iaitu salah memilih pemimpin, maka kepimpinannya boleh merosakkan diri kita sendiri,” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Muda Bekalan Air dan Menteri Muda Pertanian Datuk Sylvester Entri Muran, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau dan ADUN Telang Usan Dennis Ngau.

Advertisement