Anda di sini

Suami isteri raih untung RM3,000 hasil derma Palestin dicekup polis

Advertisement

LIMBANG: Sepasang suami isteri berjaya meraih keuntungan lebih RM3,000 hasil daripada kutipan derma atas nama Tabung Palestin di sini sejak beberapa hari lalu.

Namun, keghairahan mengutip derma akhirnya membawa padah apabila kegiatan dipercayai tidak berlesen dilakukan di sekitar bazar Ramadan dan depan sebuah bank di pusat bandar di sini Rabu lalu berjaya ditumpaskan polis.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai yang meragui tindakan suami isteri terbabit mengutip derma sejak beberapa hari lalu.

Katanya, bertindak atas maklumat tersebut pihaknya berjaya menahan suami isteri yang berasal dari Kedah itu untuk disoal siasat.

“Hasil siasatan mendapati suami isteri berkenaan menggunakan alasan aktiviti derma itu dilakukan atas nama sebuah persatuan taska yang berdaftar di Sungai Petani Kedah.

“Bagaimanapun, persatuan mengaku berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) itu tidak mempunyai kaitan dengan Tabung Palestin dan tidak mempunyai lesen menderma dari Pejabat Residen dan polis,” katanya di sini semalam.

Mohd Bukhori berkata, suami kepada wanita terbabit bekerja di Brunei dan pernah mengadakan kutipan di negara jiran itu tetapi tidak dibenarkan dilakukan di negara terbabit.

“Suami dan isteri itu kemudiannya melakukan kutipan derma Tabung Palestin di Limbang dan berjaya meraih keuntungan sekitar RM600 pada Rabu lalu.

“Malah, hasil siasatan mendapati mereka mempunyai akaun simpanan berjumlah RM3,000 yang disimpan dalam bank hasil kutipan derma terbabit,” katanya.

Menurutnya, suami isteri terbabit sudah dinasihatkan untuk keluar dari Limbang.

Sementara itu, Mohd Bukhori menasihati orang ramai menjumpai individu sama yang mengutip derma atas nama Tabung Palestin agar memaklumkan kepada polis bagi mengelak mereka ditipu.

 

Advertisement