Anda di sini

PJHB mahu lahirkan lebih ramai pemain bola sepak & futsal

Advertisement

Oleh Harry Ilias

 

SKUAD HARAPAN: Kushairy (duduk, dua kanan) merakamkan kenangan bersama pengurus, jurulatih dan pemain lelaki PJHB.

PENUBUHAN akademi bola sepak dan futsal di Sarawak jelas membuktikan kedua-dua sukan itu mempunyai peminat yang ramai di negeri ini.

Ia petanda yang sangat positif khususnya dalam membantu merancakkan pembangunan sukan itu dengan lebih agresif agar Sarawak tidak ketandusan pemain yang berkaliber pada masa akan datang.

Turut sama merancakkan usaha tersebut adalah Petra Jaya Homemade Burger (PJHB), akademi bola sepak dan futsal yang terletak bersebelahan padang penjara Sibu.

PJHB adalah inisiatif yang dimulakan oleh Ketua Balai Polis Sibu, Inspektor Kushairy Bujang bertujuan menyediakan platform kepada golongan remaja dan kanak-kanak di Sibu menjalani latihan bola sepak dan futsal secara profesional.

“Sibu mempunyai ramai pemain bola sepak dan futsal yang berbakat, namun mereka memerlukan platform khas untuk mengasahkan lagi potensi mereka.

“Justeru, kita telah memulakan inisiatif dengan menubuhkan akademi PJHB bagi menyediakan latihan bola sepak dan futsal secara komprehensif kepada golongan remaja di bandar ini,” jelas Kushairy kepada Utusan Borneo.

Penglibatan Kushairy dalam sukan bola sepak di Sarawak tidak perlu diperkenalkan lagi di mana beliau pernah membawa skuad Young Crocs pada kempen Piala Sarawak 2012 yang diadakan di Miri.

“Impian saya cuma satu iaitu membantu melahirkan seramai mungkin pemain bola sepak dan futsal yang berbakat dan dapat mewakili Sarawak mahupun negara,” tambahnya.

Bagi membantu mengendalikan akademi tersebut, Kushairy telah melantik jurulatih dari Sabah, Endrew Lawadin yang mempunyai lesen kejurulatihan B daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Endrew mempunyai pengalaman meluas dalam bidang kejurulatihan dan saya berharap kita dapat menggunakan kepakarannya untuk memberi latihan terbaik kepada remaja di sekitar Sibu.”

Kushairy turut melahirkan rasa gembira dan syukur dengan sokongan padu daripada badan-badan kerajaan, swasta termasuk ADUN Nangka Dr Annuar Rapa’ee terhadap penubuhan akademi tersebut.

“Sokongan ini menunjukkan semua pihak mempunyai aspirasi yang sama untuk melihat sukan bola sepak dan futsal terus berkembang maju di Sibu.

“Secara tidak langsung, akademi ini juga akan membantu mengurangkan gejala sosial khususnya di kalangan remaja selain bertindak sebagai pemangkin dalam melahirkan generasi muda yang sihat dan berdaya saing,” tambahnya.

Sejak ditubuhkan, PJHB telah banyak menempa kejayaan dalam pelbagai kejohanan yang dianjurkan di Sibu.

Antaranya, skuad wanita mereka telah ditabalkan johan Kejohanan Futsal Terbuka Sibu 2014 yang diadakan pada Jun lalu.

Selain itu, skuad lelaki turut mencipta nama dengan menjuarai Kejohanan Futsal World Cup juga pada bulan lepas.

Tambahnya, PJHB dalam proses membentuk pasukan bola sepak dan futsal yang mantap untuk dihantar menyertai pelbagai kejohanan peringkat bahagian atau negeri seperti Piala Sarawak ataupun SUKMA.

Mereka yang berminat untuk menyertai akademi PJHB boleh menghubungi Kushairy di talian 0104088998.

Advertisement