Anda di sini

Penduduk luar bandar harus sedia hadapi segala perubahan: Mauh

Advertisement

BALINGIAN: Penduduk di kawasan luar bandar diseru sentiasa bersedia menghadapi segala perubahan dunia bagi menyahut cabaran Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Datuk Joseph Mauh Ikeh berkata, masyarakat seharusnya tidak bersikap mudah puas hati dengan segala perkara yang dilakukan.

“Masyarakat kita seharusnya sentiasa berpandangan jauh dan berfikiran terbuka agar mampu bersaing seiring dengan pembangunan negara. Jangan sentiasa berada di takuk lama.

“Perubahan ini dapat dilakukan dengan mengubah cara atau konsep penanaman tradisional kepada pertanian komersial yang membawa keuntungan berlipat ganda,” jelasnya.

Ketika menyentuh mengenai kepentingan modal insan dalam SCORE, Mauh menasihati ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka sentiasa menerima sistem pendidikan yang baik.

“Pendidikan yang diterima anak-anak kita amat penting bagi memastikan mereka dapat memberi sumbangan kepada kemajuan dan pembangunan negara suatu hari nanti,” tegasnya.

Mauh berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Abraham Anum, Sepiring, Balingian, baru-baru ini. Hadir sama ialah Kaunselor Dr Ali Puji, Kaunselor Mathew Ganggang serta ketua-ketua kaum.

Tambah Mauh, permintaan tinggi tenaga kerja bagi mengisi pelbagai kekosongan pekerjaan teknikal yang wujud di SCORE kelak menjadi satu peluang keemasan kepada golongan muda.

“Kita juga memerlukan golongan muda yang mempunyai kemahiran profesional, teknikal dan kurang mahir untuk mengisi peluang pekerjaan yang bakal wujud dalam SCORE di kawasan tengah negeri ini.

“Oleh itu, jangan berasa takut untuk berubah dan berhenti menimba ilmu. Jika kita sanggup belajar, kita akan dapat berdaya saing serta setanding dengan orang lain,” katanya.

Pada majlis yang sama, Mauh turut menyampaikan bantuan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Rumah Abraham Anum.

Advertisement