Anda di sini

Pelajar IPTA turut buat liputan tragedi pesawat MH17

Advertisement

SEPANG: Tragedi menimpa pesawat malang MH17 yang mendapat liputan meluas media dari dalam dan luar negara turut menarik perhatian sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi untuk membuat liputan berkaitan nahas ini bagi tujuan ilmiah.

Kesungguhan sekumpulan lapan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Lendu, Melaka mendokumentasi tragedi ini terzahir apabila mereka sanggup berkampung di Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus mendapat berita mengenai tragedi ini, sejak Jumaat pagi lepas.

Pelajar jurusan Diploma Fotografi dan Pengimejan Kreatif, Muhammad Shafwan Mohd Zaidon, 20, berkata dia bersama rakan sekuliahnya tiba di KLIA pukul 3 pagi Jumaat dan sudah berkampung lebih 24 jam semata-mata mahu mempelajari dengan lebih dekat bagaimana pihak media membuat liputan tentang tragedi itu.

Ketika ditemui di Anjung Tinjau KLIA, di sini, Nurul Hayani Mohd Basir, 20, berkata beliau mahu menimba pengalaman baru dengan menyertai kumpulan media membuat liputan.

“Satu pengalaman yang cukup berharga buat kami di mana saya dan rakan-rakan dapat merasai betapa mencabarnya golongan media mendapatkan maklumat yang tepat berhubung sesuatu kejadian untuk disalurkan kepada masyarakat,” kata Nurul Hayani.

Pesawat Boeing 777 membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, dalam penerbangan dari  Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia, selepas dipercayai ditembak jatuh.

Pesawat itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari Khamis waktu tempatan dan dijadual tiba di KLIA pada 6.10 pagi Jumaat waktu Malaysia.-Bernama

Advertisement