Anda di sini

MH17: Kerajaan-kerajaan negeri rakam takziah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan-kerajaan Negeri merakamkan takziah dan dukacita dengan tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang terhempas di Ukraine pada Khamis.

Di Ipoh, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah melahirkan rasa dukacita terhadap tragedi menimpa pesawat MH17 yang bukan sahaja melibatkan warga Malaysia, malah warga pelbagai negara turut berada dalam pesawat malang berkenaan.

“Ia berita yang amat mengejutkan. Ia berita pilu yang amat menyayat hati, berita amat mendukacitakan, berita terlalu pahit untuk dimamah oleh anggota keluarga dan sahabat handai mangsa-mangsa tragedi,” titah baginda pada Majlis Perasmian Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di sini, semalam.

Baginda percaya pimpinan negara sedang mengusahakan yang terbaik untuk menangani tragedi itu.

“Sama-sama kita berdoa kepada Ilahi agar anggota keluarga diberikan ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi saat-saat yang sangat hiba ini.

“Ya Allah, Engkau ringankan tanggungan kepiluan mereka, Engkau anugerahkan mereka kekuatan menghadapi dugaan berat-Mu ini, Engkau kurniakan sebaik-baik ganti kepada apa yang telah Engkau ambil kembali,” titah Sultan Perak.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula berkata semua pihak, bukan sahaja di Malaysia malahan di peringkat antarabangsa perlu mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan industri penerbangan dunia tidak terdedah kepada sebarang ancaman.

Beliau juga mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga semua mangsa terlibat.

Di Shah Alam, kerajaan negeri dan seluruh rakyat Selangor turut merakamkan salam takziah kepada anggota keluarga penumpang dan kru pesawat malang itu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tragedi itu sungguh menyayat hati seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia apatah lagi ketika semua pihak masih bersedih dengan kehilangan pesawat MH370.

“Masyarakat Malaysia perlu bertenang, tabah dan kuat bagi menghadapi situasi menyedihkan ini. Bagi umat Islam, kejadian berlaku pada bulan Ramadan yang mulia dan penuh berkat yang mengajar kita semua bersabar serta menerima ketentuan ini dengan penuh reda,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Khalid berharap kerajaan Malaysia menghantar mesej yang kuat kepada masyarakat antarabangsa supaya pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi itu menerima hukuman setimpal dengan perbuatan tidak berperikemanusiaan ini.

Di Kota Baharu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga semua penumpang dan anak kapal MH17 dan berharap mereka dapat bersabar dan tabah menghadapi ujian getir tersebut.

“Belum lagi reda isu kehilangan pesawat MH370 pada Mac lalu, kini satu ujian yang besar lagi terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yakin kepimpinan kerajaan sedang mengenal pasti punca nahas tersebut dan berharap dapat melaporkannya secara berperingkat khususnya berhubung dengan keadaan penumpang serta anak kapal.

Di Melaka, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron melahirkan rasa simpati dan sedih kepada semua anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH17 dan turut meminta semua pihak mendoakan yang terbaik buat mereka yang terlibat dalam tragedi itu.

“Kerajaan negeri serta seluruh rakyat Melaka mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa MH17 dan harap mereka bersabar dalam menghadapi ujian Ilahi pada bulan yang mulia ini.

“Kita juga bercadang memberikan bantuan dan mengadakan lawatan ke rumah keluaga mangsa dari Melaka dalam masa terdekat ini,” katanya kepada pemberita.

Sehingga ini diketahui Ketua Pramugara pesawat MH17 iaitu Mohamad Ghafar Abu Bakar berasal dari Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah, Alor Gajah dekat sini.

Pesawat MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine.

Penerbangan itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Belanda) Khamis dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Anatarabangsa KL (KLIA) pada jam 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal pagi semalam berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu telah ditembak. — Bernama

 

Advertisement