Anda di sini

Malaysia akan siasat secara terperinci

Advertisement

Malaysia mahu dalang diadili segera jika benar pesawat ditembak jatuh: Najib

SEPANG: Malaysia berikrar akan menyiasat secara terperinci pun­ca yang menyebabkan pesawat Malaysia Air­lines (MAS) Penerban­gan MH17 terhempas di Ukraine, walaupun pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat komersial itu ditembak jatuh.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ber­kata sekiranya pesawat itu benar-benar ditem­bak jatuh, Malaysia akan mendesak agar pihak yang bertanggungjawab melaku­kannya dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

“Usaha akan dilakukan secara habis-habisan,” ka­tanya pada sidang akhbar di Sama-Sama Hotel di sini semalam.

Najib, yang kelihatan su­gul pada sidang akhbar yang sesak dengan wakil media itu, berkata laluan pener­bangan pesawat berkenaan adalah selamat dan tidak tertakluk kepada sekatan.

Katanya, laluan itu di­isytiharkan selamat oleh Pertubuhan Penerban­gan Awam Antarabangsa (ICAO), manakala Per­satuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) juga menyatakan ruang udara yang direntasi pesawat itu tidak tertakluk kepada sekatan.

Beliau berkata Malaysia Airlines mengesahkan Pen­erbangan MH17, yang mem­bawa 298 orang, termasuk 15 anak kapal, tidak membuat panggilan kecemasan.

Katanya menurut maklu­mat yang didedahkan Pusat Kawalan Trafik Udara Kiev, lokasi alat pengesan kedudu­kan kecemasan itu ialah 48 darjah, 7 minit dan 23 saat Utara; dan 38 darjah, 31 minit dan 33 saat Timur.

Menurut perdana menteri, pusat operasi kecemasan te­lah ditubuhkan berhubung tragedi itu, yang beliau si­fatkan sebagai “dahsyat dan amat mengejutkan”.

Katanya, para pegawai Malaysia sentiasa berhubung dengan rakan sejawatan mereka di Ukraine dan tempat lain.

Najib berkata beliau juga telah bercakap den­gan Presiden Ukraine dan pemimpin itu berjanji sia­satan penuh, menyeluruh dan bebas akan dijalankan, manakala pegawai Malaysia juga akan dijemput meny­ertainya.

“Presiden Ukraine itu juga mengesahkan bahawa kerajaannya akan berund­ing dengan pemberontak di timur negara itu untuk menubuhkan satu koridor kemanusiaan di tempat pes­wat berkenaan terhempas,” katanya.

Najib juga berkata beliau telah mengadakan beberapa perbualan dengan Perdana Menteri Netherlands dan akan berbincang dengan beberapa pemimpin dunia berhubung tragedi itu.

Najib berkata beliau juga menerima panggilan telefon daripada presiden Amerika Barack Obama dan mereka sependapat bahawa satu sia­satan tanpa sebarang sekatan perlu dijalankan.

“Sebuah pasukan antara­bangsa perlu mempunyai akses sepenuhnya ke tempat pesawat berkenaan ter­hempas dan tiada sesiapa pa­tut mengganggu kawasan itu atau mengalihkan sebarang serpihan, termasuk kotak hitam,” katanya.

Menurut Najib, Malay­sia Airlines sedang dalam proses menghubungi waris penumpang dan anak kapal itu, manakala segala ban­tuan akan diberi kepada mereka.

Katanya Malaysia meng­hantar sebuah pesawat khas ke Kiev, yang membawa Pasukan Bantuan Bencana Khas Malaysia dan Pasukan Penyelamat serta pasukan perubatan.

Pesawat Boeing 777-200 Malaysia Airline Penerban­gan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu di­jadual tiba di Kuala Lumpur pada jam 6.10 pagi semalam waktu Malaysia.

Najib berkata beliau men­gutuskan doa dan harapan untuk keluarga serta sahabat handai mereka yang menaiki pesawat berkenaan.

“Saya tidak dapat mem­bayangkan apa yang sedang mereka alami pada saat-saat memilukan ini. Bagaim­anapun, hari ini (semalam), tanpa mengira warganegara, kita semua bersatu dalam kesedihan.

“Ini merupakan hari yang tragik, pada tahun yang begitu tragik juga bagi Ma­laysia,” katanya.

Advertisement