Anda di sini

Bangunan lama SK Parish runtuh dibadai ribut

Advertisement

Oleh Nicklos Louis Kaderi

 

MUSNAH: Bangunan lama SK Parish musnah selepas roboh awal pagi semalam.

BALINGIAN: Bangunan lama Sekolah Kebangsaan (SK) Parish, Balingian yang tidak lagi digunakan sejak 2002 menyembah bumi pagi semalam akibat struktur bangunan yang sudah usang dan senget dilanda ribut kencang dua hari lalu.

Bangunan roboh itu mula digunakan pada 1967 yang mempunyai enam buah bilik darjah dan sebuah bilik guru besar.

Guru Besar sekolah itu, Perti Sarchian berkata bangunan lama tersebut tidak lagi digunakan dan dikosongkan sejak 2002 serta berpindah ke bangunan baharu.

Perti memberitahu, pihak sekolah berusaha menulis surat untuk merobohkan bangunan tersebut selepas dikosongkan beberapa tahun lalu kerana struktur bangunan yang agak membimbangkan.

Pada 16 Julai lalu, sekitar jam 4 petang keadaan cuaca buruk dan ribut kencang melanda sekitar kawasan Balingian dan pada petang itu juga bangunan lama terbabit menjadi senget akibat ribut kuat.

Menyedari perkara tersebut, beliau melaporkan perkara itu ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mukah, Polis dan SESCo bahawa bangunan lama sekolah itu kelihatan hanya menunggu masa untuk roboh.

“Dua hari lalu iaitu pada 16 Julai 2014, angin kencang melanda sekitar kawasan Balingian menyebabkan bangunan tersebut roboh dan musnah.

“Selepas saya menyedari perkara itu, saya berusaha melaporkan perkara tersebut kepada pihak atasan supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 5.30 pagi semalam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Perti berkata, bangunan tersebut juga turut disarang anai-anai menyebabkan papan-papannya rosak dan buruk.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan sekolah terbabit berkata pada masa itu merupakan giliran rakan sekerjanya yang bertugas.

Menceritakan pengalaman sewaktu kejadian kepada rakannya, dia memberitahu bunyi terlalu kuat yang hanya beberapa meter dari arahnya yang sedang meronda di sekeliling kawasan sekolah tersebut.

Selepas mendengar bunyi tersebut, rakannya lalu bergegas ke arah bunyi yang kuat menyebabkan dia terperanjat apabila sebuah bangunan runtuh.

“Selepas tiba di tempat tersebut, rakannya melihat keseluruhan struktur sebuah bangunan telah pun menyembah bumi,” katanya.

Advertisement